Tiada diberhentikan kerja, bukti ekonomi P. Pinang diurus baik – KM

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

BAYAN LEPAS – Kemasukkan beberapa syarikat bertaraf multinasional (MNC) ke Pulau Pinang bagi memenuhi permintaan industri kini membuktikan bahawa perkembangan ekonomi dan pelaburan negeri diurus dengan baik serta berkembang pesat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, kemasukkan lebih 300 syarikat bertaraf MNC termasuk beberapa syarikat ‘top-notch’ (hebat) membuktikan bahawa pengurusan ekonomi Pulau Pinang berada di landasan yang betul.

Menurutnya, industri elektrik & elektronik (E&E) yang menjadi sektor utama dalam sektor perkilangan dan pembuatan di Pulau Pinang sudah menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menyediakan bukan sahaja tenaga kerja mahir, tetapi juga peluang untuk berkembang secara berterusan.

“Ekosistem perindustrian Pulau Pinang yang ‘kaya’ dengan tenaga kerja mahir berbilang bangsa dan berpengetahuan tinggi menjadi salah satu kekuatan buat negeri ini.

“Di samping itu, kita (Pulau Pinang) turut menawarkan perlindungan di bawah undang-undang harta intelek, tadbir urus yang baik dan kepimpinan bersih sekaligus menjadi formula kejayaan unggul.

“Malah, di Pulau Pinang, tiada cadangan untuk mengurangkan pekerja kilang mahupun diberhentikan sungguhpun terdapat beberapa syarikat yang melakukan penstrukturan semula.

“Terima kasih kepada MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) dan juga MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) kerana membantu membangunkan ekonomi Pulau Pinang terutamanya dalam ketidaktentuan ekonomi global kini,” ucapnya pada upacara memperkenalkan jenama baru TF-AMD di Fasa 3, Kawasan Perindustrian Bayan Lepas di sini baru-baru ini.

TF-AMD Sdn. Bhd. merupakan syarikat usahasama antara Tong Fu Microelectronics (TFME) dan Advanced Micro Devices (AMD) dalam menyediakan pemasangan, ujian, tanda dan perkhidmatan pek untuk pelanggan.

Penstrukturan semula dan penjenamaan baru tersebut membolehkan TFME memegang kepentingan saham sebanyak 85 peratus manakala baki kepentingan 15 peratus dipegang oleh AMD.

Turut hadir, pada upacara itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan; Ketua Pegawai Eksekutif AMD, Dr. Lisa Su dan Pengerusi TFME, Shi MingDa.

AMD merupakan salah satu daripada lapan perintis syarikat elektronik yang ditubuhkan di Bayan Lepas sejak tahun 1972.