Hentikan Pencemaran di Punca Untuk Sungai Pinang Yang Lebih Sihat dan Bersih

Admin

Oleh : Lai Chee Hui & Hoo Huey Ching Penang Green Council

Gambar : Water Watch Penang

Sungai berfungsi sebagai sumber air utama di Malaysia. Walau bagaimanapun, kebanyakan sungai di Malaysia telah tercemar kerana proses pembandaran yang pesat.

Sungai Pinang terletak di Daerah Timur Laut dan merupakan salah satu sungai yang tercemar di Pulau Pinang.

Walaupun panjang sungai ini hanya kira-kira 3.1 km, ia dipenuhi oleh sampah sarap yang akibat aktiviti manusia di sekitar sungai.

Merujuk kepada satu berita yang diterbitkan, pada tahun 2015 sampah yang dikutip dari Sungai Pinang telah meningkat tiga kali ganda sejak 2013 (Rujukan: The Sun Daily, 2015).

Kerja-kerja pemulihan telah dijalankan di Sungai Pinang, termasuk teknologi rawatan air telah mempertingkatkan kualiti air sungai dari Kelas IV (kotor) kepada Kelas II B (air sungai yang sesuai untuk sentuhan badan).

Namun begitu, usaha pendidikan harus diteruskan supaya orang awam dan penduduk tempatan tidak membuang sampah ke dalam Sungai Pinang.

Penduduk Pulau Pinang perlu dididik tentang cara-cara pengurusan sisa yang lebih baik dan juga kepentingan pemuliharaan sungai untuk memastikan Sungai Pinang menjadi lebih bersih pada masa yang akan datang.

Pada 16hb April 2016, satu program pendidikan alam sekitar yang bernama “Program Kesedaran Pendidikan Sungai” telah dianjurkan oleh Persatuan Pengamatan Air Pulau Pinang (Water Watch Penang, WWP) dengan sokongan daripada Penang Green Council (PGC).

Program ini ditaja oleh Eco-Peace Leardership Center (sebuah organisasi Korea yang bertujuan untuk mengwujudkan masyarakat yang bereokolgi aman di negara Asia-Pasifik).

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan generasi muda terhadap isu pencemaran Sungai Pinang dan kepentingan untuk membersihkan sungai.

Seramai 33 orang pelajar yang berumur 16- 17 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jelutong (SMK Jelutong) dan 22 orang pelajar universiti dari Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai program ini.

Program ini bermula dengan pembentangan oleh wakil WWP untuk memaklumkan para peserta tentang isu-isu pencemaran Sungai Pinang dan peranan generasi muda dalam pemuliharaan sungai.

Selepas itu, semua peserta bertolak ke Jalan Patani untuk aktiviti pembersihan di tebing Sungai Pinang dan diikuti dengan analisis sisa untuk mengenalpasti jenis sisa yang dikutip.

Aktiviti pengasingan sisa telah diketuai oleh kakitangan PGC dengan mengasingkan sampah yang dikumpul kepada dua aliran, iaitu sisa yang boleh dikitar semula dan sisa yang tidak boleh dikitar semula.

Hasil analisis menunjuk bahawa 1856 keping sampah (88 %) daripda 2087 keping sampah yang dikutip di sepanjang Sungai Pinang adalah sisa yang boleh dikitar semula (Sumber: Persatuan Pengamatan Air Pulau Pinang).

Kebanyakan sisa yang boleh dikitar semula ialah sisa plastik, kertas, dan getah. Program ini diikuti dengan bengkel “Consumerism Thinking Cap” yang dijalankan oleh staf PGC.

Bengkel ini menyediakan satu plaform untuk para perseta yang merangsangkanpemikiran kritikal terhadap penghasilan sisa domestik harian.

Setiap orang merupakan pengguna dan tingkah laku pengguna memberi kesan yang ketara kepada jumlah sisa yang dihasil dan dihantar ke tapak pelupusan.

Para peserta telah diberi beberapa kajian kes kreatif untuk mengkaji semula tabiat membelibelah dari segi pertimbangan “keperluan” dan “kemahuan”.

Bengkel ini turut menekankan kepentingan pengurusan sisa yang cekap terhadap persekitaran air dan elakkan pembaziran sumber.

Kesimpulannya, pengurusan sisa yang kurang cekap merupakan salah satu faktor penting yang menimbulkan masalah pencemeran Sungai Pinang.

Para peserta program ini diharapkan supaya meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mereka terhadap pemuliharaan sungai dan pengurusan sisa.

Dalam usaha untuk menangani isu-isu pencemaran Sungai Pinang, generasi muda yang mewakili masa depan memainkan peranan yang amat penting.

Generasi muda perlu lebih aktif dan komit dalam usahah pemuliharaan sungai demi Pulau Pinang yang lebih hijau dan bersih.