Tiada lagi miskin di P. Pinang

Admin
KETUA Menteri bersama barisan Exco dan ADUN-ADUN Kerajaan Negeri bergambar bersamasama selepas selesai pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2013 AES pada Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DUN Pulau Pinang Ke-12 di sini baru-baru ini. (Gambar ihsan).
KETUA Menteri bersama barisan Exco dan ADUN-ADUN Kerajaan Negeri bergambar bersamasama
selepas selesai pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran
Pembangunan 2013 AES pada Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DUN Pulau
Pinang Ke-12 di sini baru-baru ini. (Gambar ihsan).

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB


GEORGE TOWN -Sebanyak RM20 juta diperuntukan Kerajaan Negeri pada tahun 2013 demi mencukupkan pendapatan minima bulanan bagi setiap isi rumah di Pulau Pinang dari RM600 kepada RM770, iaitu pada kadar yang melebihi garis kemiskinan.

Ini bermaksud bahawa sekiranya terdapat mana-mana isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM770 sebulan, maka, Kerajaan Negeri bakal menambah nilai atau ‘top-up’ bakinya untuk mencukupi RM770.

Berikut adalah antara intipati pengumuman Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng semasa Pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2013 atau Belanjawan Pulau Pinang 2013 yang mengangkat tema AES iaitu Agenda, Ekonomi dan Saksama sempena persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke- 12 di sini baru-baru ini.

Katanya, kejayaan Pulau Pinang menjadi negeri pertama bebas dari miskin tegar di Malaysia dengan memastikan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dinaikkan daripada RM500 sebulan kepada RM600 sebulan untuk tahun 2012 membuktikan keberkesanan dasar ‘Pro-Poor’ yang dilaksanakan Kerajaan Negeri mulai tahun 2009. Namun demikian, Kerajaan Negeri mempunyai hasrat untuk membasmi kemiskinan sama sekali.

Jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, menurut laporan IKMAS (Institute of Malaysian and International Studies, UKM) pada tahun 2011, garis kemiskinan (Poverty Line Indicator) bagi Semenanjung Malaysia merupakan RM763 sebulan.

“Garis kemiskinan ini merupakan tahap pendapatan yang diperlukan untuk menikmati taraf kehidupan yang paling minima.

“Berdasarkan garis kemiskinan RM763 ini, kadar kemiskinan di Pulau Pinang pada tahun 2007 dan 2009 merupakan 1.4 peratus dan 1.2 peratus masing-masing.

“Dengan (mencukupkan pendapatan isi rumah RM770 sebulan) ini, Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama untuk mencapai taraf Miskin Sifar, Rasuah Sifar, Pengangguran Sifar dan pada suatu hari nanti Hutang Sifar,” tegas beliau yang turut menyatakan bahawa sejumlah RM60 juta disediakan untuk pelaksanaan program-program sosial dan kebajikan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri bagi tahun depan.

Berikut adalah ringkasan butiran Belanjawan 2013 yang dibentangkan Y.A.B. Ketua Menteri :

MEMBANGUNKAN MODAL INSAN
– RM12 juta untuk Sekolah-sekolah Bantuan Modal termasuk Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Cina, Sekolah Tamil dan Sekolah Mubaligh.

MEMARTABATKAN AGAMA ISLAM
(RM46.42 juta) – RM13.84 juta meliputi pembangunan masjid, surau dan SAR.  Peruntukan meneruskan pembinaan masjid baru yang mengambilkira prasarana mesra orang kurang upaya (OKU), iaitu di Masjid Jamek Sungai Gelugor, Daerah Timur Laut dan Masjid Jamek Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU).

MEMACU PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA & KOMUNITI
– RM 2.3 juta untuk melengkapkan wanita dengan kemahiran dan pengetahuan serta mewujudkan persekitaran yang menggalakkan bagi menyokong dan memajukan wanita. RM3 juta diperuntukan untuk pemeriksaan mamogram secara percuma yang akan dijalankan bersama peruntukan ADUN di bawah Program Kesihatan Bebas Barah Payu Dara Pulau Pinang.

MEMANTAPKAN PEMBANGUNAN BELIA DAN SUKAN
– Peruntukan yang disediakan Kerajaan Negeri untuk memantapkan prasarana dan budaya kesukanan bertambah RM1 juta kepada RM7.67 juta, manakala peruntukan yang disediakan untuk aktiviti belia juga bertambah kepada RM752,000.  Peruntukan khas sebanyak RM5 juta akan diberikan untuk membina gelanggang futsal di seluruh Pulau Pinang.

MEMPERTINGKATKAN PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM
-Insentif kewangan RM15,000 kepada jabatan yang berjaya mengekalkan prestasi cemerlang. Bonus setengah bulan gaji dengan minima RM700 pada bulan Disember 2012 dan Januari 2013 nanti – setelah 3,780 penjawat awam menerima bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM600 menjelang Sambutan Hari Raya Aidilfitri lepas. Guru-guru dan penyelia KAFA akan menerima RM400 kali ini iaitu RM700 untuk tahun ini berbanding RM600 tahun lalu. Sejumlah RM7.466 juta akan dibelanjakan bagi maksud pemberian bonus ini. Pemberian bonus ini turut dipanjangkan kepada kedua-dua PBT dan Badan-badan Berkanun Negeri

.
MEMAJUKAN SEKTOR PERTANIAN
– Mensasarkan pengeluaran padi sebanyak 6.5 metrik tan per hektar. – Peruntukan RM 7.18 juta bagi memastikan sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri meningkat.

* Bagi teks penuh, sila layari www. penang.gov.my atau facebook, cmlimguaneng.