Tiada perbincangan kerjasama PH dan BN di negeri Pulau Pinang – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa masih tiada sebarang perbincangan dibuat mengenai kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri Pulau Pinang buat masa ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita mengenai potensi kerjasama antara PH dan BN negeri Pulau Pinang susulan pembentukan kerajaan perpaduan yang melibatkan kerjasama kedua-dua parti berkenaan di peringkat Persekutuan.

“Tiada sebarang perbincangan dibuat (ke arah kerjasama) setakat ini, dan di peringkat parti (PH) juga tidak dibangkitkan mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan insentif kepada 313 pelajar sempena Majlis Anugerah Cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaydia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2021 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan dekat sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata bahawa Kerajaan Negeri akan meneruskan perbincangan mengenai projek-projek yang bakal dilaksanakan di negeri ini dengan pelbagai kementerian yang terlibat.

“Buat masa ini kita beri masa dahulu kepada menteri untuk menyelesaikan urusan di peringkat Persekutuan dan barulah kita akan mendapatkan maklum balas daripada menteri-menteri berkaitan kerana projek-projek ini melibatkan banyak isu.

“Saya juga akan cadangkan dalam mesyuarat Exco yang akan datang supaya Kerajaan Negeri menghantar surat kepada kementerian-kementerian terlibat untuk menyambung perbincangan mengenai projek-projek yang telah dirancang untuk dilaksanakan di negeri ini,” katanya.