Tidak perlu GST, hanya perlu kurang rasuah & jenayah – KM

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyelar Kerajaan Pusat ekoran kegagalan mengurus tadbir
kewangan dengan berkesan apabila tersenarai sebagai negara kelima dalam pengaliran wang haram.

Dipetik dari laporan portal, Global Finance Integrity (GFI), Guan Eng berkata, sekiranya penilaian dilakukan berdasarkan pendapatan perkapita sesebuah negara, beliau agak terkejut kerana Malaysia berada di tangga pertama.

“Dari tahun 2003, kita (Malaysia) dikatakan terlibat dalam penghasilan wang haram berjumlah RM1,382 bilion, jumlah ini sangatlah besar dan ianya merangkumi lima kali ganda bajet tahunan negara.

“Justeru, Kerajaan Pusat harus memberi perhatian serius berhubung hal ini,” tegasnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Selain bajet, Guan Eng turut menyamakan jumlah terbabit dengan kos pembinaan 42 lagi lapangan terbang menyerupai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

“Berapa lama lagi kita perlu hadapi situasi begini? Itu yang cuba saya sebut sebelum ini, negara tidak perlu pun untuk melaksanakan cukai GST, kita hanya perlu kurangkan rasuah dan jenayah, sudah pasti kita akan dapat wang.

“Bila hapus rasuah, selesailah masalah!,” jelasnya.

Guan Eng dalam pada itu mengambil contoh Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang membasmi rasuah dan berjaya menghasilkan perbelanjaan lebihan untuk dipulangkan kepada rakyat melalui pelbagai sumbangan ‘Emas’.

“Ini berbeza dengan Kerajaan Pusat yang kali terakhir punyai lebihan adalah pada tahun 1998, iaitu tahun akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan, sehingga kini  tiada lagi lebihan,” tambahnya.