Sokongan jayakan kutipan amal beli kenderaan OKU

GEORGE TOWN – Sokongan umum terhadap penganjuran program amal, Lets Walk, Run and Zumba Charity 2014 berjaya merealisasikan sasaran kutipan berjumlah RM150,000 yang bakal digunakan untuk membeli lima kenderaan direka khas bagi kegunaan golongan orang kurang upaya Eden Handicap Service Centre di sini.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng berkata, penglibatan orang ramai bersama-sama pihak swasta melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mampu membawa impak yang positif kepada semua.

“Ia merupakan contoh teladan baik bagi golongan muda agar membentuk masa depan yang lebih penyayang, malah, pada masa sama mampu mengurangkan jurang antara golongan berada dan kurang bernasib baik seperto OKU,’’ katanya pada Majlis Pelepasan Peserta Program Lets Walk, Run and Zumba Charity 2014 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey dan Pengurus Besar Eden Handicap Service Centre, Bertie Tye.

Penganjuran program tersebut adalah sebahagian daripada program mengumpul dana sekitar RM1 juta untuk membeli lima kenderaan direka khas untuk OKU.

Selain dewasa dan kanak-kanak, 29 peserta berkerusi roda dan kanak-kanak istimewa merupakan antara 500 yang mengambil bahagian.

Serentak itu, enam kenderaan OKU turut disampaikan kepada Eden Handicap Service Centre, iaitu dua buah dari Pertubuhan Wanita Mutiara dan masing-masing sebuah dari Lions Club Georgetown, Rotary Club of Georgetown, Hotayi Electronic serta seorang dermawan dari Kuala Lumpur. Kenderaan terbabit bernilai RM150,000 setiap sebuah.