Tidak perlu terbang ke UK, ‘Immersive Interactive Exhibit’ pertama Asia Tenggara kini di TDP

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Pertama di Asia Tenggara, pameran interaktif secara tiga dimensi kini boleh dialami pengunjung Tech Dome Penang (TDP) dekat Komtar di sini.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, warganegara atau penduduk Asia Tenggara tidak perlu lagi terbang beribu-ribu batu ke United Kingdom dan memadai ke Pulau Pinang sahaja, bagi menimba pengalaman dalam kamar ‘Immersive Interactive Exhibit’ di TDP.

“Tech Dome Pulau Pinang (TDP) bertuah kerana terpilih sebagai lokasi untuk pameran teknologi sains ini, mungkin pertama bukan sahaja di Malaysia bahkan Asia Tenggara.

“Pengunjung yang ke sini (TDP) selepas ini berpeluang menimba pengalaman paling istimewa dalam penerokaan sains secara interaktif pada tahap keupayaan terkini, dengan hanya (bertandang) ke Tech Dome Pulau Pinang (TDP),” katanya pada majlis peluncuran pameran tersebut di sini baru-baru ini.

Difahamkan, ‘Immersive Interactive Exhibit’ adalah terdiri oleh keupayaan teknologi tinggi dengan menggunakan kepelbagaian projektor dan sensor laser, hatta mewujudkan persekitaran pelbagai dimensi seolah-olah alam realiti sebenar ataupun dunia fantasi, kepada mereka yang berada dalam kamar interaktif tersebut.

Ruang kamar interaktif berteknologi tinggi berkenaan dibuka dengan sokongan Kerajaan Negeri untuk tujuan pembelajaran dan latihan berkaitan alam sains di TDP.

Tambah Guan Eng, dekat United Kingdom, kira-kira 70 sistem interaktif seumpama itu telah dipasang, namun di Asia Tenggara sehingga kini hanya ada sebuah sahaja dekat TDP.

“Sistem ini digunakan di sekolah-sekolah, pendidikan khas dan menyediakan latihan untuk hospital, kecemasan dan anggota keselamatan,” jelasnya.

Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Tech Centre Berhad, Dr. Khong Yoon Loong turut merakamkan penghargaan pihak berkenaan kerana memperkenalkan fasiliti berteknologi tinggi itu kepada TDP.

Hampir semua Exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang menyertai majlis pelancaran pembukaan tersebut.