Sambutan Hari Tandas Sedunia diharap jadikan tandas Pulau Pinang terbersih negara suatu hari nanti – KM

GEORGE TOWN – Masuk tahun ketujuh, sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang diraikan di tengah-tengah Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, komitmen Kerajaan Negeri terus meraikan keraian sedunia itu akan mempopularkan Pulau Pinang sebagai negeri yang mempunyai tandas paling bersih di tanah air ini, kelak.

“Sesebuah bandar raya boleh dianggap bersih apabila tandastandas awam bersih…apabila tandas semua bersih, barulah orang tahu Pulau Pinang bersih.

“Kalau boleh, Pulau Pinang jadi tandas No.1 paling bersih di Malaysia,” jelasnya pada majlis sambutan berkaitan serentak dengan penganjuran acara ‘Occupy Beach Street’ di sini.

Sebelum itu, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow ketika berucap berharap Kerajaan Negeri tidak perlu lagi menganjurkan acara berkaitan selepas 10 tahun penganjuran kelak, kerana Pulau Pinang berjaya mencapai taraf negeri yang mempunyai tandas paling bersih di tanah air ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif antara pemimpin negeri yang menyertai sambutan acara tahunan tersebut.

Pertandingan fesyen kanak-kanak daripada bahan kitar semula antara acara menarik, selain majlis penyampaian Anugerah Tandas Terbersih Pulau Pinang meliputi sembilan kategori.