Tidak perlu tinggal dalam kontena lagi

Admin

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

TELOK AIR TAWAR Kehidupan lebih 37 keluarga yang sebelum ini terpaksa menetap di dalam kontena terbela apabila bakal menerima pampasan rumah kos rendah Taman Bayu Aman tahun depan (2014) hasil inisiatif Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) di sini.

Mantan Exco Perancangan Bandar dan Desa, Perumahan dan Kesenian, Wong Hon Wai berkata, keluarga-keluarga terlibat terpaksa tinggal di dalam kontena ekoran tanah yang diduduki lebih 16 tahun lalu bakal dibangunkan sebagai kawasan perumahan oleh pihak Kerajaan Negeri yang lama – Barisan Nasional (BN).

“Bagaimanapun, projek berkenaan tidak diteruskan sehinggalah Kerajaan Negeri PR mengambilalih pemerintahan sebagaimana berlaku pada projek-projek terbengkalai lain di bawah BN.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Air Tawar merupakan ADUN kawasan di sini selama empat penggal, tetapi tidak dapat menyelesaikan isu di tempatnya sendiri,’’ katanya pada sidang media sempena lawatannya ke tapak projek di sini baru-baru ini.

Secara purata, projek berkenaan kini telah mencapai 25 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2014 kelak.

Menurut Hon Wai, jumlah unit rumah kos rendah yang disediakan di taman tersebut adalah sebanyak 149 unit. Dari jumlah tersebut, 52 unit rumah adalah sebagai pampasan, manakala baki 97 unit lagi dibuka kepada senarai menunggu pembeli (rumah kos rendah) yang telah berdaftar dengan Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri.

“Jika dilihat, bilangan rumah pampasan adalah lebih banyak dari jumlah keluarga yang menerima pampasan kerana terdapat 12 keluarga menetap dalam dua buah kontena ekoran jumlah ahli keluarga yang ramai. Justeru, keluarga tersebut akan menerima dua buah rumah pampasan,’’ jelasnya.

Tambahnya, keutamaan akan diberikan kepada 52 unit rumah pampasan berkenaan.

“Sekiranya masih tidak mencukupi, mereka yang memperoleh pampasan akan diberi keutamaan untuk membeli baki 97 unit lagi. Kita akan buka kepada senarai menunggu selepas urusan pampasan ini selesai,” ujar beliau.