Kebersihan kantin sekolah dipertandingkan

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Bagi memastikan mutu kebersihan dan kesihatan para pelajar sekolah sekitar sini terjaga, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengadakan operasi pemeriksaan di kantin-kantin institusi pembelajaran tersebut di sini baru-baru ini.

Hasil operasi melalui Ahli-ahli Majlisnya dan beberapa kakitangan Bahagian Perlesenan MPPP, sebanyak tiga kompaun dan denda telah dikeluarkan ekoran para pekerja tidak mendapat suntikan kepialu dan kesalahan makanan tercemar (2).

Ahli Majlis MPPP, Ong Ah Teong berkata, hasil pemeriksaan di dua buah kantin sekolah terpilih di sini baru-baru ini mendapati bahawa pengusaha berkaitan gagal mematuhi etika peraturan membabitkan kebersihan berhubung penyediaan makanan serta kesihatan antaranya di bawah Kesalahan Undang- undang Kecil Establishment Makanan MPPP.

“Kebanyakan makanan yang disediakan tidak ditutup sehingga menyebabkan lalat menghurungi makanan, manakala para pekerja juga tidak menjaga kebersihan diri dengan berkuku panjang.

“Pada masa sama, hasil pemeriksaan juga mendapati pihak pengusaha gagal memasang perangkap minyak di bahagian cucian hingga menyebabkan minyak serta bendalir asing mengalir ke dalam longkang awam,” ujarnya di sini baru- baru ini.

Turut hadir, Ahli Majlis MPPP, Lim Cheng Ho.

Bersempena itu, sebanyak 128 kantin sekolah bakal diperiksa dan sehingga kini, MPPP telah berjaya memeriksa 21 kantin yang keseluruhannya berjaya mencapai gred kebersihan A dan B.

Dalam pada itu, Ah Teong turut mengumumkan bahawa pengredan kantin sekolah akan dimulakan pada Mac hingga Ogos 2013. “Ia adalah susulan pertandingan pengredan yang sebelum ini hanya membabitkan hotel, restoran, kedai kopi dan kedai nasi kandar.

“Namun, pada akhir 2012, MPPP telah membuat keputusan untuk memanjangkan pendekatan tersebut kepada kantin-kantin sekolah menengah dan rendah,’’ jelas beliau.