Tiga blok flat Bandar Sbrg. Jaya siap dicat semula

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, tiga blok lima tingkat rumah flat kos rendah dekat Bandar Seberang Jaya yang baru siap dicat semula lengkap menelan belanja RM177,000, manakala, kos kerja-kerja penyelenggaraan pula berjumlah RM110,133.

“Amaun 80 peratus ditanggung PDC (Perbandanan Pembangunan Pulau Pinang) merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), manakala, YB Dr. Afif Bahardin (Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya) telah sudi menanggung baki 20 peratus kos.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Dr. Afif bagi pihak MC (Perbadanan Pengurusan) atas peruntukan beliau ini,” ujarnya pada Majlis  Penyerahan Rasmi Penyiapan Kerja Pengecatan Semula 3-Point Blok (A1, A2, A3) Bandar Seberang Jaya di sini baru-baru ini.

Selain Afif yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan) turut berucap pada majlis itu.

Hadir sama, Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar dan Datuk Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP).

Menurut Guan Eng, kerja-kerja mengecat semula tiga flat tersebut dilakukan oleh PDC Nusabina Sdn. Bhd.. Manakala, kerja-kerja pembaikan berwajib pula
meliputi kerosakan kritikal seperti penggantian paip air hujan, pembuangan tumbuhan sedia ada dan kerja lapis air (waterproofing).

Salah seorang pemilik unit rumah kos rendah, S. Sarasvathy, 50, yang ditemui menyatakan rasa syukur di atas inisiatif mengecat semula flat kediamannya.

Jelas beliau, ekoran sikap penduduk yang tidak membayar yuran penyelenggaraan bernilai RM20 setiap bulan, menyebabkan MC di sini tidak dapat jalankan lagi kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan.

Keluhan serupa turut diluahkan Aishah Fazilah Ismail. 37.

Afif ketika dihubungi menjelaskan bahawa semua kerosakan kritikal yang baru dibaiki sebenarnya telahpun dirosakkan dua hari kemudian, akibat aktiviti vandalisme dan kecurian pihak tidak bertanggungjawab.

Jelas beliau lagi, MC tidak dapat melaksanakan kerja-kerja pembersihan kerana rata-rata penduduk di situ gagal membayar yuran penyelenggaraan mengikut jadual.

“Kita akan baiki balik secepat mungkin semua kerosakan kritikal dan mencari jalan agar MC boleh melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan seperti biasa selepas proses bayaran yuran dibuat oleh penduduk,” ujarnya baru-baru ini.

Pada Jun tahun lepas, Jagdeep serta Afif sendiri turun meninjau ketiga-tiga rumah pangsa kos rendah di sini.

Hasil lawatan itu, Jagdeep mengarahkan supaya semua kerosakan kritikal segera dipulihara, selain, syor mengecat semula bangunan tersebut.

Mohd. Radzi Awang, wakil Pesuruhjaya Bangunan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) diberi tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah berbangkit, iaitu kesemua flat di sini sejak 28 tahun lepas masih belum mendapatkan sijil layak menduduki (OC).

Menurut Jagdeep, perkara berbangkit tersebut perlu segera diselesaikan untuk mendapatkan peruntukan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M).

Pun begitu, kerja-kerja penyelenggaran serta mengecat semula ketiga-tiga flat tersebut kini ditanggung secara bersama oleh PDC dan Afif.

Tiga blok lima tingkat yang keseluruhannya terdiri oleh 180 unit rumah dibina pada tahun 1981.

Kali terakhir kerja-kerja mengecat semula tiga blok berkenaan dilakukan pada tahun 1992.