Kurangkan rasuah, bukan subsidi petrol & diesel – KM

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng membidas tindakan Kerajaan Persekutuan menaikkan harga runcit baharu petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter pada 2 Oktober lalu.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang terkejut dengan kenaikan harga minyak petrol dan diesel sebanyak 20 sen seliter, sedangkan dua buah negara lain iaitu India menurunkan harga minyak sebanyak 65 paise (RM0.03) dan United Kingdom sebanyak 5 pence (RM0.26).

“Kerajaan Persekutuan seharusnya mengurangkan kadar rasuah atau korupsi di Malaysia dan bukannya mengurangkan subsidi petrol dan diesel secara mendadak,” katanya dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Y.A.B. Ketua Menteri.

Tambah Guan Eng, keputusan Kerajaan Persekutuan menaikkan harga petrol dan diesel itu bukan sahaja membebankan rakyat, malah mengakibatkan kos sara hidup rakyat meningkat.

“Kerajaan Persekutuan perlu menjelaskan kepada rakyat rasionalisasi pengurangan subsidi petrol dan diesel,” tegasnya.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada 1 Oktober lalu mengeluarkan kenyataan mengumumkan subsidi petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa 12.01 pagi, 2 Oktober 2014.

Berikutan itu, harga runcit baharu bagi petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter berbanding harga pasaran dunia pada masa ini bagi RON95 ialah RM2.58 seliter dan diesel (RM2.52 seliter).