GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri membuktikan komitmen berterusan dalam memartabat syiar Islam apabila sebanyak tiga masjid baharu melibatkan kos keseluruhan RM14 juta kini sedang rancak dibina di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pembinaan fasiliti ibadah berkenaan sepenuhnya ditanggung oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan kemudahan keagamaan umat Islam terus diperkasa.
“Kerajaan Negeri terus menyokong pengembangan syiar Islam di ‘Negeri Kita’ (yang mana) projek pembinaan Masjid Cherok Tok Kun Bawah dijadualkan siap pada tahun ini, manakala Masjid Sungai Bakap dan Masjid Permatang Tinggi dijangka siap pada tahun 2027,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 Negeri dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 30 Oktober 2026.
Dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Speaker Dewan, Dato’ Seri Law Choo Kiang itu, Kon Yeow menambah bahawa usaha menyemarakkan syiar Islam akan diperluaskan menerusi projek pembangunan Masjid Cherok Tok Kun Atas yang menelan kos RM13 juta, hasil kerjasama kewangan antara Kerajaan Negeri (RM3.9 juta), Kerajaan Persekutuan (RM6.5 juta) dan sumbangan kariah (RM2.6 juta).
“Kerja-kerja tanah projek berkenaan kini mencapai kemajuan 80 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2028,” jelasnya dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15, di sini pada 30 Oktober 2026.
Di samping fasiliti ibadah, beliau menjelaskan bahawa sektor pendidikan agama turut diberi tumpuan utama menerusi pembinaan tiga Sekolah Agama Rakyat (SAR) bernilai RM15.07 juta.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa SAR Madrasah Nurul Falah dan SAR Madrasah An-Najah dijangka siap pada 2027, manakala SAR Masjid Bandar Baru Ayer Itam bakal siap menjelang 2028.
Sebagai tanda penghargaan, beliau menambah bahawa Kerajaan Negeri turut mengumumkan penganugerahan sumbangan khas secara one-off kepada penggerak pendidikan Islam termasuk guru KAFA, guru sekolah agama rakyat, guru tahfiz, pondok dan tadika Islam.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut menonjolkan kejayaan Pulau Pinang dalam memperkasa ekonomi halal apabila mencatatkan 1,191 syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang memegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) aktif, sekali gus menduduki tangga ketiga tertinggi di Malaysia selepas Johor dan Selangor.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa meskipun Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang kecil secara geografi dan demografik, potensi dan keupayaannya dalam industri halal negara amat signifikan,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Bagi memantapkan ekosistem berkenaan, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri menerusi Penang Halal International (PHI) dan PDC sedang merencanakan Pelan Induk Industri Halal Pulau Pinang 2026–2030 serta memajukan Taman Perindustrian Halal di Bukit Minyak.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak RM1.5 juta bakal disalurkan pada tahun 2027 bagi mempergiatkan promosi dan pelaburan bernilai tinggi seperti sektor farmaseutikal, kosmetik dan peranti perubatan bagi memacu eksport serta membuka peluang pekerjaan berkualiti.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI