Tiga sekolah di Tanjong terima CCTV, perkukuh keselamatan warga sekolah

Admin
img 20260822 wa0064

GEORGE TOWN – Usaha memperkukuh keselamatan warga sekolah di kawasan Parlimen Tanjong dipertingkatkan menerusi pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di tiga sekolah, membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Westlands, SMK St. Xavier dan SMK Agama Al-Mashoor.

 

 

 

Ahli Parlimen Tanjong merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, kemudahan berkenaan diserahkan sempena Karnival Pendidikan MADANI Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Timur Laut 2026, di sini hari ini.

 

img 20260822 wa0067

 

 

Menurutnya, sebanyak RM21,200 disumbangkan oleh orang-perseorangan bagi menjayakan pemasangan sistem CCTV berkenaan, manakala RM74,000 lagi diperuntukkan bagi melengkapkan keperluan berkaitan di ketiga-tiga sekolah terbabit.

 

 

 

“Sejak saya dipilih sebagai Ahli Parlimen Tanjong, pendidikan sentiasa menjadi antara fokus utama saya.

 

 

 

“Walaupun kini berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, komitmen saya terhadap sekolah dan pendidikan di kawasan Tanjong tidak pernah berubah,” ujarnya.

 

 

 

Tambah beliau, aspek keselamatan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada pendidikan berkualiti kerana murid memerlukan persekitaran yang selamat, kondusif dan selesa untuk belajar serta berkembang dengan baik.

 

 

 

Pemasangan CCTV bukanlah penyelesaian kepada semua isu keselamatan, sebaliknya berperanan sebagai mekanisme sokongan untuk membantu pihak sekolah memantau kawasan tertentu, meningkatkan tahap keselamatan serta membolehkan tindakan lebih pantas diambil sekiranya berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

 

 

 

Dalam pada itu, Lim Hui Ying berkata, isu buli dan buli siber juga perlu diberi perhatian serius dalam usaha memperkukuh perlindungan murid secara menyeluruh.

 

 

 

Buli hari ini tidak lagi terbatas kepada pergaduhan atau ejekan secara bersemuka sebaliknya dengan penggunaan media sosial, murid juga boleh berhadapan penghinaan, ugutan atau penyebaran kandungan yang memalukan secara dalam talian.

 

 

 

“Perkara ini dibangkitkan dalam konteks usaha memperkukuh perlindungan murid secara keseluruhan dan bukan kerana terdapat kes buli tertentu di tiga sekolah yang menerima CCTV ini,” jelasnya.

 

img 20260822 wa0065

 

 

Beliau berkata, pencegahan dan pengesanan awal amat penting, selain memerlukan kerjasama erat antara pihak sekolah, keluarga, komuniti dan agensi kerajaan.

 

 

 

“Guru perlu peka terhadap perubahan tingkah laku murid, ibu bapa perlu mengambil tahu keadaan anak-anak, manakala murid pula perlu tahu bahawa mereka boleh bersuara dan mendapatkan bantuan apabila berhadapan masalah,” katanya lagi.

 

 

 

Pada masa sama, beliau berharap kemudahan CCTV yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan menjadi sebahagian daripada usaha berterusan untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang bukan sahaja lengkap dengan kemudahan pendidikan, malah selamat, kondusif dan menyokong perkembangan murid secara menyeluruh.

 

 

 

Gambar: PEJABAT MP