Tindakan terhadap Line Clear ikut SOP – YDP

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menegaskan bahawa ‘premis’ Nasi Kandar Line Clear yang diambil tindakan penguatkuasaan pada 19 Januari lalu adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) atas kesalahan tidak memiliki lesen perniagaan sah dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan di sini.

Yang di-Pertua MPPP, Dato’ Patahiyah Ismail berkata, Majlis telah mengeluarkan surat masingmasing kepada empat peniaga berkenaan termasuk pengendali (Abdul Hamid Seeni Parkir) pada 16 Disember 2014 bagi mengosongkan tapak berkenaan mulai 1 Januari 2015.

“Masalah perniagaan ini agak rumit kerana ia melibatkan hal keluarga.

“Tetapi, mereka (pemilik) telah bersetuju untuk mengadakan operasi perniagaan secara sistem giliran tahunan.

“Justeru, MPPP telah mengeluarkan lesen kepada pengusaha baru, Abdul Latif Thulkarunai berkuatkuasa 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2015 mengikut keputusan yang dibuat pada 8 Oktober 2014 berhubung keputusan untuk melesenkan mereka (para pemilik) secara sistem giliran,’’ katanya pada sidang media khas yang diadakan di sini baru-baru ini.

Hadir sama , Setiausaha Perbandaran, Ir. Ang Aing Thye dan Pengarah Bahagian Pelesenan MPPP, Azman Sirun.

Turut hadir, dua waris Nasi Kandar Line Clear iaitu Sahubarali Ina China Mohd. Hanibah yang diberikan lesen untuk beroperasi bagi tahun 2016 dan Pathumah Iskandar, 2017.

Menurut Patahiyah, sebelum tindakan penguatkuasaan dilakukan pada hari tersebut, hasil pemeriksaan yang dijalankan sebelum itu mendapati bahawa operasi perniagaan Nasi Kandar Line Clear masih dijalankan seperti biasa walaupun tanpa lesen sah.

“Kita (MPPP) dah siasat dan periksa terlebih dahulu.

“Tindakan yang dijalankan terhadap kedai nasi kandar tersebut adalah selaras dengan peruntukan Undang-undang Kecil Penjaja 1979.

“Tuduhan mengatakan MPPP menjalankan penguatkuasaan secara melulu adalah tidak benar kerana kita telah menghantar notis,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Patahiyah turut menasihati pewaris-pewaris Nasi Kandar Line Clear supaya menyelesaikan pertikaian mengenai sistem giliran tersebut secara baik.

“Kita tidak berniat campur tangan dalam pertikaian ini, kerana ia masalah keluarga.

“Secara jujurnya, Majlis mahu (Nasi Kandar) Line Clear diteruskan kerana ia merupakan salah satu ikon kepada produk pelancongan Pulau Pinang,” ujar beliau.d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);