Tingkat Sungai Ara 1 sehala menjelang waktu sesak

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

SUNGAI ARA – Bagi mengurangkan kesesakan lalulintas, laluan di sebahagian Tingkat Sungai Ara 1 di sini ditukar kepada arah laluan sehala bermula April tahun ini.

Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Lalulintas MPPP, Muhammad Sabri Md. Osman berkata, inisiatif tersebut dapat mengurangkan masalah konflik dan gangguan lalulintas di kawasan tersebut terutamanya pada waktu masuk dan selepas sesi persekolahan.

“Arah aliran lalulintas dicadangkan adalah dari lorong tepi premis nombor 20, Tingkat Sungai Ara 1 sehingga Tingkat Sungai Ara 2.

“Penguatkuasaan laluan sehala adalah bermula pada jam 6.30 pagi hingga 8.00 pagi, 12.30 tengah hari hingga 2 petang dan 6 petang hingga 7.30 malam,” ujarnya ketika meninjau lokasi terlibat berdekatan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Cheng di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Jurutera Lalulintas MPPP, Zainuddin Mohd. Shariff dan Pengetua SJKC Chong Cheng, Teh Hean Law.

Muhammad Sabri dalam pada itu turut menasihatkan agar pemandu-pemandu mematuhi arah aliran lalulintas dan larangan-larangan ditetapkan demi keselamatan orang ramai serta kelicinan aliran lalulintas di kawasan terlibat.

Sementara itu, Hean Law berkata, pihak sekolah akan menyediakan khidmat Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) bagi membantu serta memastikan penukaran arah aliran lalulintas berjalan lancar.