Kompleks Makan Desa Genting siap Nov. ini

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

PULAU BETONGMajlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) membelanjakan RM679,000 bagi kerja-kerja menaiktaraf Kompleks Makan Desa Genting di sini yang dijangka siap pada November ini.

Menurut Yang diPertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail, Kompleks Makan Desa Genting yang merupakan suatu lokasi penjaja terkenal dibina sekitar tahun 1990-an bakal dinaiktaraf dengan reka bentuk moden dan selesa selaras dengan misi MPPP dalam penjenamaan semula kompleks-kompleks penjaja di seluruh Pulau Pinang.

“Cadangan menaiktaraf kompleks berkenaan telah dikaji terlebih dahulu dan mengambil kira pandangan daripada semua pihak sebelum melaksanakan tender terbuka pada 23 Julai 2012.

“Pemaju, Etika Glokal Enterprise telah menandatangani surat setuju terima pada 29 November tahun lalu dan telah memulakan kerja-kerja pembinaan pada 2 Januari lalu (2013). Dijangkakan, projek menaiktaraf ini bakal mengambil masa 10 bulan,’’ katanya pada Majlis Pelancaran Projek Naiktaraf Kompleks Taman Desa Genting di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain, Setiausaha Perbandaran, Ir. Ang Aing Thye, ahli-ahli majlis MPPP, mantan Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail, mantan PPK Telok Bahang, Halil Sabri Hamid, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) dan penduduk Taman Desa Genting.

Sejak 2008, MPPP telah menaiktaraf 15 buah pasar-pasar awam, gerai makanan dan tapak-tapak penjaja seluruh pulau. Pada tahun 2013, MPPP bercadang merancakkan lagi kerja-kerja naiktaraf di 11 buah tapak penjaja dan pasar awam bagi keselesaan serta kemudahan orang awam.

Sejajar dengan penaiktarafan tersebut, Kompleks Makan Desa Genting bakal mempunyai lapan lot gerai dengan tujuh daripadanya adalah lot menjual makanan, manakala bakinya adalah untuk minuman.

Selain dilengkapi dengan dinding batu berjubin, lot-lot gerai ini turut mempunyai tingkap gelungsur, perangkap gris, aluminium roller shutter, kaunter basuh baru dan bumbung yang tinggi.

Dalam pada itu, Kon Yeow dalam ucapan perasmiannya berharap penduduk di Taman Desa Genting akan dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan oleh MPPP hasil inisiatif berkenaan.