Tinjau teknologi pertanian pintar, perkukuh sektor agromakanan

Admin
0434df7f e11e 447c a2e3 cf825698a159

FUJIAN, CHINA – Kerajaan Negeri meneliti potensi teknologi penanaman padi ratun dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pertanian menerusi lawatan kerja ke Fujian, China, bagi mengenal pasti pendekatan yang berpotensi meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengeluaran agromakanan negeri.

Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata, lawatan ke pusat penanaman padi ratun di perkampungan Changping, Nanping bertujuan meninjau kaedah penanaman, sistem pengairan dan saliran serta teknik penuaian yang berpotensi disesuaikan dengan keadaan tempatan.

“Pulau Pinang kini melaksanakan projek percubaan padi ratun seluas kira-kira dua hektar di Balik Pulau bagi menilai potensi kaedah ini dalam meningkatkan pengeluaran padi negeri.

“Padi ratun berpotensi mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan produktiviti tanah pertanian melalui penghasilan tuaian susulan daripada tunas yang tumbuh pada tunggul padi selepas penuaian pertama.

“Walau bagaimanapun, keberkesanannya bergantung pada pengurusan air, teknik penanaman serta kesesuaian keadaan tanah dan iklim tempatan,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

2a5e8c36 909f 4667 baaa cbb8d2195858 8417a530 e3b4 4b65 805f 6572c3e353a2 ac911250 393f 4acd bf3e dd6b02524994 69592793 3b2f 4908 b820 b4d42b0b27aa 9c13b4af 5852 4673 a25d 58f941c62486
Dalam perkembangan berkaitan, Choon Aik yang juga Pengarah Penang Agrotech Sdn. Bhd. mengadakan kunjungan hormat ke Fujian Agriculture and Forestry University dan bertemu dengan Naib Presiden, Dr. Zheng Baodong, bagi bertukar pandangan mengenai penyelidikan, penerapan teknologi pertanian moden dan potensi kerjasama dalam pembangunan sektor pertanian.

Beliau turut mengunjungi Huamin Data bagi meninjau penggunaan AI dalam pertanian, termasuk untuk pemantauan tanaman, pengurusan penanaman dan aplikasi racun perosak secara bersasar.

“Penggunaan teknologi moden dan AI berpotensi membantu petani meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan penggunaan sumber serta mengurangkan pembaziran dalam proses pengeluaran.

“Teknologi ini wajar diteliti bagi mengenal pasti pendekatan yang sesuai untuk membantu petani tempatan meningkatkan produktiviti dan mengurus operasi pertanian dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Choon Aik berkata, teknologi dan pengalaman yang diperoleh sepanjang lawatan itu akan dinilai berdasarkan kesesuaiannya dengan iklim, keadaan tanah serta keperluan petani di Pulau Pinang sebelum sebarang usaha penerapan atau peluasan dilaksanakan.

Menurut beliau, lawatan berkenaan turut membuka ruang kerjasama antara Pulau Pinang dengan Fujian dalam bidang penyelidikan, pemindahan teknologi, pertanian pintar dan latihan tenaga kerja bagi menyokong pembangunan sektor pertanian yang lebih produktif dan mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Agrotech Sdn. Bhd., Nasrul Bokhari dan wakil Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, Zamri Ahmad, turut menyertai lawatan tersebut.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: PEJABAT EXCO