Titikberatkan penggunaan teknologi dan IoT, seru Ketua Menteri

SEBERANG JAYA – Bagi menjamin perkhidmatan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sentiasa kekal ke hadapan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru supaya penggunaan teknologi dan Internet of Things (IoT) sentiasa dititikberatkan dalam pelaksanaan kerja seharian pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan.

 

Justeru, beliau berharap lebih banyak ‘Business Process Reengineering’ dapat diterokai supaya Kerajaan Negeri termasuk PBT dapat mengambil kesempatan atas kepesatan teknologi masa kini.

 

“Sebagai contoh, MBSP sebelum ini telah memperkenalkan sistem ‘SpeedBiz’ yang mana ia telah memudahkan permohonan lesen perniagaan dengan menggunapakai teknologi tanpa bergantung kepada proses secara manual.

 

“Projek serampang dua mata ini pada asalnya dilancarkan bagi memudahkan pemilik perniagaan semasa kekangan pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana ia secara tidak langsung telah mendidik rakyat Pulau Pinang supaya celik teknologi maklumat (information technology),” ujarnya pada Majlis  Sambutan Ulang Tahun Hari Bandaraya Ketiga MBSP 2022 dekat Menara Bandaraya di sini hari ini.

 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Datuk Bandar bagi MBSP, Dato’ Azhar Arshad; Setiausaha Bandaraya bagi MBSP, Ir. Baderul Amin Abdul Hamid; barisan Ahli Majlis serta Ketua-ketua jabatan.

Serentak itu, Kon Yeow turut merasmikan pelancaran buku Pelan Induk dan Kesihatan Pekerjaan MBSP yang bakal menjadi panduan serta rujukan kepada pelaksanaan gerak kerja yang lebih sistematik dan komprehensif bagi menerapkan ’Budaya Keselamatan’ di tempat kerja.

 

“MBSP telah mengambil alih Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung pada 31 Julai 2022, namun masih ada satu lagi tanggungjawab besar yang perlu dititikberatkan terutamanya dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan selaras dengan persijilan ISO 45001:2018 OHSMS.

 

“Pelan Induk ini yang mempunyai enam strategi, program (24) dan aktiviti (57) di bawahnya telah dibangunkan selaras dengan Malaysian Occupational Safety and Health Master Plan 2021– 2025 (OSHMP25) di peringkat nasional yang dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH),’’ jelasnya.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow dalam pada itu turut mengucapkan tahniah kepada MBSP di atas pengiktirafan ‘Malaysia’s National Winner of the One Planet City Challenge’ (OPCC) bagi tahun 2021/2022, malah, Seberang Perai juga telah disenaraikan sebagai peserta akhir ‘National and Global Finalist of the One Planet City Challenge 2022’.

 

“OPCC dikendalikan oleh Tabung Alam Sedunia (WWF) dan pengiktirafan berkaitan diberikan kepada bandar-bandar yang berjaya mencapai sasaran pengurangan pelepasan karbon, mitigasi komprehensif dan pengadaptasian kepada langkah-langkah yang diambil untuk menanggani krisis,” ujarnya sambil berharap MBSP akan terus mengekalkan kecemerlangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

 

Pada majlis sama, MBSP turut menyampaikan penghargaan kepada 100 pegawai dan kakitangan yang telah dipilih untuk menerima Anugerah Pekerja Contoh pada tahun ini.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : DARWINA MOHD. DAUD