TKPM RM40 juta demi penuhi keperluan makanan negeri

BUKIT TENGAH – Pembukaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Juru dengan nilai pelaburan kira-kira RM40 juta baru-baru ini adalah demi memenuhi keperluan makanan negeri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, langkah itu demi memenuhi keperluan makanan negara yang dijangka kian meningkat menjelang tahun 2020.

“Kesedaran pada pengguna terhadap makanan protein umpamanya mengakibatkan permintaan ikan tiap-tiap tahun kian meningkat, maka, penternakan ikan akaukultur dengan sokongan teknologi terkini sudah tentu diperlukan sebagai alternatif.

“Tidak ada yang mustahil untuk dicapai jika kita berusaha melaksanakan projek berskala besar, secara komersial dengan disokong oleh teknologi tinggi, membabitkan usahawan termasuk daripada sektor swasta.

“Jadi, saya berharap kemajuan aktiviti pertanian di Pulau Pinang dengan sokongan teknologi terkini mampu dilakukan supaya setanding dengan sektor perindustrian dan pelancongan negeri,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pembukaan TKPM di sini baru-baru ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin turut berucap pada majlis tersebut.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Ong Chin Wen, Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani dan Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Negeri merangkap Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Abu Jamal Nordin turut hadir pada majlis tersebut.

Guan Eng memberitahu, kesedaran pengguna pada makanan berprotein mengakibatkan permintaan ikan dari 1.3 juta tan metrik pada tahun 2010, dijangka meningkat kepada 1.9 juta tan metrik (2020) dengan pertumbuhan 3.8 peratus setahun.

Lagipun, beliau menjelaskan bahawa sektor pertanian negeri mencapai pertumbuhan menggalakkan sebanyak 4.7 peratus, berbanding dengan 3.0 peratus untuk seluruh Malaysia bagi tahun 2011 hingga 2013.

“Ini menyebabkan sumbangan pertanian kepada KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) naik kepada 1.9 peratus pada tahun 2013, berbanding dengan 1.6 peratus (2005),” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Sebelum itu, Afif memberitahu bahawa TKPM yang berkeluasan 115.20 hektar itu dibahagikan kepada zon pertanian, zon perikanan dan zon penternakan.

Tambah beliau, pengurusan TKPM tersebut turut disokong secara bersepadu oleh Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Perikanan peringkat negeri.

Difahamkan, penternakan ayam secara Closed Breeding Farm menggunakan teknologi tinggi bertaraf antarabangsa turut didirikan di TKPM.

Langkah komersial itu susulan Nilai Hasil Tahunan (NHT) bagi aspek pengeluaran peladangan melebihi hasil RM844.10 juta yang diperoleh pada tahun 2014, dengan 60 peratus hasil daripada pengeluaran ayam dan itik.