TMPR jangkau batasan seni & budaya Nusantara – Zairil

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Pengarah Eksekutif Penang Institute, Zairil Khir Johari menyifatkan bahawa pementasan Teater Muzikal P. Ramlee (TMPR), ‘Dari Penang ke Singapura’ di Dewan Sri Pinang di sini dari 28 hingga 30 Ogos baru-baru ini adalah sebuah karya seni ulung yang mengetengahkan Seniman Agung Negara, Tan Sri Datuk Amar P. Ramlee sebagai watak utama.

Beliau yang ditemubual sejurus selepas tayangan akhir pementasan TMPR berkata, kehadiran Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh atau lebih dikenali sebagai P. Ramlee dalam arena perfileman negara telah meninggalkan kesan yang sangat besar dan filem-filem serta lagu-lagunya masih menjadi tontonan dan siulan generasi kini.

“Pastinya, pementasan ini merupakan sesuatu yang unik, sungguhpun ramai dalam kalangan warga Pulau Pinang masih baru dengan pementasan teater, saya pasti, mereka yang datang menonton (pementasan ini) berasa teruja.

“Sumbangan P. Ramlee sangat besar, walaupun sejarah akan selama-lamanya mengingati beliau sebagai seniman agung dan budayawan tersohor, jelas hasil karya beliau sebenarnya menjangkaui batasan seni dan budaya Nusantara.

“Filem-filem beliau masih relevan sehingga kini, sarat dengan mesej kemasyarakatan dan pastinya akan terus kekal relevan sampai bila-bila, kerana beliau seorang insan luar biasa,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Bendera. Zairil, dalam pada itu turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Enfiniti Vision Media Sdn. Bhd.

(EVM) kerana berjaya menggeletek jiwa warga Pulau Pinang dengan pementasan teater yang hebat. “TMPR sarat dengan babak-babak yang mudah difahami dan disampaikan dengan penuh dengan warna-warni.

“Saya harap lebih banyak lagi produksi teater datang ke Pulau Pinang dan bukan hanya mengetengahkan bintang dari Pulau Pinang, tetapi juga di luar Pulau Pinang kerana kita meraikan karya seni tanpa mengenal sempadan bangsa mahupun budaya,” ujar beliau.

Terdahulu, ketika sesi bertemu media barubaru ini, penerbit TMPR, Puan Sri Tiara Jacquelina memberitahu bahawa pementasan kali ini merupakan naskah terhebat arahan Pat Ibrahim yang memaparkan kisah kehidupan seniman lagenda negara itu dipersembahkan di luar Kuala Lumpur selepas tiga musim.

“Pementasan bermula di negeri kelahiran P. Ramlee sendiri iaitu Pulau Pinang, sebelum ke Johor dan Melaka, dan pastinya ia merupakan tribute khas buat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“Saya percaya menerusi TMPR, kami di EVM mahu meraikan kehidupan luar biasa seorang lelaki yang telah membentuk dunia layar perak dan hiburan di Nusantara.

“Bukan mudah, apatah lagi dipentaskan di tempat lahirnya seniman ulung, tapi kami di pihak produksi sangat gembira dapat berkongsi secebis pengalaman figura istimewa ini,” jelas beliau yang mengakui bahawa pementasan kali ini adalah berbeza dari segi interpretasi dan dinamika watak yang dibawa.

Tony Eusoff sekali lagi diberi tanggungjawab membawa watak P. Ramlee.

Selain Tony, Tiara juga turut membawa watak sebagai Noorizan Mohd. Noor (isteri kedua P. Ramlee), Nadia Aqilah Bajuri sebagai biduanita Saloma, Datuk Aznil Nawawi sebagai Daeng Harris atau D’Harris dan penampilan baru Nor Hasmidar Ahmad sebagai Junaidah D’ Harris, isteri pertama P. Ramlee.

Ternyata kesemua mereka berasa teruja dan bersemangat, malah Tony sendiri mengakui merasakan ‘kehadiran’ P. Ramlee pada pementasan kali ini di Pulau Pinang.

“P. Ramlee ada bersama kita sepanjang masa dan beliau merupakan Bintang Utara yang tiada tolok bandingnya,” kata Tony.

}