TPM80PP dan TP1M, Kerajaan Negeri pastikan tidak timbul pertindihan permohonan dana penyelenggaraan – Exco

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

 

SUNGAI PINANG – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memastikan tidak timbul pertindihan permohonan bagi pembiayaan penyelenggaraan di bawah Tabung Penyelenggaraan Maksima 80 Pulau Pinang (TPM80PP) dan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M).

 

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, ia adalah bertujuan mengelakkan sebarang pembaziran dana penyelenggaraan untuk skim perumahan rakyat di negeri ini.

 

“Kini Pakatan Harapan sudahpun memegang tampuk pentadbiran Persekutuan dan ia memberi kemudahan untuk melihat serta memantau situasi ini.

 

“Kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) tidak mahu timbulnya permohonan bertindih bagi satu-satu skim perumahan, iaitu dana daripada TPM80PP dan TP1M.

 

“Sekiranya permohonan dihantar bagi dana TP1M, kita (Kerajaan Negeri) akan memastikan permohonan sama tidak diterima bagi dana TPM80PP,” ujarnya ketika mengumumkan kelulusan dana RM29,400 bagi kerja-kerja penarafan sistem perpaipan di Skim Perumahan Halaman Damai di Lintang Kampung Rawa 1 di sini baru-baru ini.

 

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan Pengerusi Badan Pengurusan Bersama Halaman Damai, Mohd. Ramlan Mohd. Rowther.

 

Pada masa sama, Jagdeep turut mencadangkan agar penjenamaan semula dapat dilaksanakan bagi Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) sebagai Program Perumahan Harapan dan TP1M sebagai Tabung Penyelenggaraan Harapan Malaysia.

 

“Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, sejumlah 139 projek telah diluluskan di bawah dana TPM80PP, dan sehingga Mei 2018, sebanyak 146 projek diluluskan dengan kos RM21.7 juta.

 

“Jumlah ini termasuk 136 permohonan bagi penarafan dan penggantian lif; permohonan penggantian dan penarafan tangki air (53) dan permohonan bagi penggantian bumbung dan pelbagai (11),” katanya yang turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin di Putrajaya pada 4 Jun lalu.

 

Difahamkan, antara topik perbincangan bersamasama Menteri berkaitan termasuk kadar penolakan pinjaman perumahan yang tinggi bagi pembeli rumah mampu milik pertama dan penyewaan perumahan awam kos rendah kepada orang asing.