Exco harap naik taraf rumah pam, parit lencong kurang risiko banjir

Admin

MACHANG BUBOK – Hujan terlalu lebat selama beberapa jam sejak 11 malam pada 28 Mei lalu, dengan purata taburan sehingga 116 milimeter (mm), mengakibatkan kira-kira 30 lokasi dilanda banjir, paling teruk di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

 

Zairil Khir Johari yang baru dilantik sebagai Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir turun meninjau keberkesanan projek pembinaan parit lencongan (bypass channel), penarafan rumah pam serta kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang menelan belanja RM6,689,136.70, terhadap usaha mengurangkan risiko bencana banjir di sekitar kawasan Permatang Tinggi di sini.

 

Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga memberitahu, projek penarafan lima unit pam berkenaan mempertingkatkan keupayaan mengepam aliran Parit 4 semasa hujan lebat, melancarkan kadar aliran air dari Permatang Tinggi ke Sungai Junjong, sekaligus mengurangkan risiko banjir kilat di sini.

 

“Semalam (28 Mei 2018) hujan di seluruh Pulau Pinang, tapi yang paling teruk kena banjir adalah SPT.

 

“Saya berharap dengan rumah pam yang dinaik taraf serta parit lencongan ini, mampu memberi impak mengurangkan risiko banjir di sini,” jelasnya pada sidang media di Rumah Pam Permatang Tinggi di sini baru-baru ini.

 

ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon dan ADUN Bagan Dalam, M.Satees turut sertai lawatan kerja tersebut. Lawatan kerja Zairil dijadual ke Rumah Pam Taman Bagan serta meninjau beberapa lagi lokasi banjir sekitar Daerah Seberang Perai Utara (SPU).

 

Selepas itu, beliau melawat satu lagi rumah pam yang turut siap dinaik taraf dekat hospital swasta Pusat Pakar Bagan dekat Daerah Seberang Perai Utara (SPU).

 

“Kedua-dua pam mudah alih ini merupakan langkah jangka pendek kerana sudah mempunyai projek tebatan banjir sedia ada dengan kos RM40 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri,” jelasnya.

 

Tambah Zairil, penyiapan projek tebatan banjir akan mengambil masa 24 bulan, dan ia akan mempunyai kapasiti mengepam air berlebihan pada 9,000 liter sesaat.