Seberang Perai berpotensi sebagai pusat pembangunan sosioekonomi – KM

Admin

JAWI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Seberang Perai mempunyai potensi untuk menjana pembangunan sosioekonomi memandangkan masih banyak lokasi yang boleh dibangunkan.

 

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini 31 Mei lalu.

 

“Berbanding dengan bahagian pulau yang sudah mencapai tahap kritikal dari segi tanah yang boleh digunakan untuk tujuan pembangunan.

 

“Semasa saya memegang jawatan sebagai Exco Kerajaan Tempatan, memang kerap kali saya nyatakan kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bahawa masa depan Negeri Pulau Pinang adalah di Seberang Perai,” jelasnya yang kini memegang portfolio Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Penerangan.

 

Kon Yeow uga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota menjelaskan, Seberang Perai juga perlu dilihat sebagai kawasan yang memainkan peranan penting untuk pembangunan masa depan Pulau Pinang kerana pelbagai sektor ekonomi boleh dibangunkan di setiap daerah di kawasan berkenaan.

 

“Berdasarkan statistik guna tanah dibentangkan, ia menunjukkan bahawa SPS masih menjana sektor penting termasuk perikanan seperti ternakan ikan dalam sangkar yang kini telah mencapai prestasi baik dari segi jumlah hasil.

 

“Oleh itu, Kerajaan Negeri dan Pejabat Daerah perlu melihat sama ada potensi ini sudah mencapai tahap berlebihan atau masih belum mencukupi,” ujarnya.

 

Sebelum itu, Pegawai Daerah, Yazman Yahya memberi taklimat khas berkaitan soal pengurusan dan pentadbiran, hasil serta program pembangunan di peringkat SPS.

 

Turut bersama dalam taklimat itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus.

 

Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dato’ Mansor Othman; ADUN Jawi, H’ng Mooi Lye; Zulkifli Ibrahim (ADUN Sungai Acheh) Dr. Amar Pritpal Abdullah (ADUN Sungai Bakap) antara wakil rakyat yang turut sertai majlis taklimat berkenaan.

 

Antara perkara lain yang dibangkitkan dalam taklimat itu adalah masalah bekalan air untuk golongan penternak ikan dalam sangkar, pembangunan Pulau Aman, isu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) dan aset-aset di bawah JKKK.

 

Isu banjir kilat di beberapa kawasan, kesesakan lalu lintas di pekan Nibong Tebal, masalah perumahan kos rendah, dan pelbagai lagi isu lain yang memerlukan penyelesaian holistik turut disuarakan oleh beberapa wakil rakyat.