TPS Kampung Sireh dinaik taraf dengan kemudahan tandas

PULAU TIKUS – Selaras dengan perolehan status sebagai Tapak Penjaja Sementara (TPS) pada 3 Januari 2020, TPS Kampung Sireh, Pulau Tikus kini dinaik taraf dengan kemudahan tandas.


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit, penaiktarafan tersebut merupakan salah satu projek Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam meningkatkan kualiti kebersihan di TPS tersebut.

 

“Selepas beberapa dekad, kawasan penjaja Kampung Sireh ini berjaya mendapat status TPS, daripada status tersebut bolehlah MBPP menaiktaraf kemudahan di sini.

 

“Satu kemudahan tandas telah siap dibina pada tahun lepas bernilai RM60,000 namun baru sempat  saya adakan lawatan pada  hari ini,  cuma tandas tersebut diletakkan di kawasan Taman Poket Lengkuk Burma.

 

“Tandas lelaki dan wanita ini juga sesuai digunakan oleh orang kurang upaya (OKU) dan diaudit oleh Penang Accessibility Group (ACG),” ujar beliau dalam satu lawatan ringkas di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBPP, Connie Tan Hooi Peng dan Penghulu bagi kawasan Pulau Tikus, Mohd. Tajuddin Ramli.

 

Mengulas lanjut, Chun Kit berharap kemudahan tersebut akan sama-sama dijaga oleh para penjaja dan pengunjung TPS.

 

Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Midland Berjaya pula akan memastikan aspek kebersihan tandas tersebut dijaga melalui pembersihan berjadual.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING