Tujuh kawasan ‘hotspot’ dadah dikenal pasti bagi pelaksanaan Inisiatif Penghijauan KBT

PENANTI – Sebanyak tujuh kawasan ‘hotspot’ kegiatan penyalahgunaan dadah di negeri Pulau Pinang telah dikenal pasti bagi pelaksanaan Inisiatif Penghijauan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) secara berperingkat sehingga tahun 2025.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa tujuh kawasan tersebut adalah membabitkan Mukim 1 Daerah Seberang Perai Utara; Mukim 12 Daerah Barat Daya; Mukim 13 Daerah Timur Laut serta Mukim 16, Mukim 19, Mukim 20 dan Mukim 21 Daerah Seberang Perai Tengah.

Ketua Menteri mendengar penerangan daripada pihak AADK mengenai kawasan tumpuan untuk membanteras penyalahgunaan dadah.

“Sebagai tanda komitmen dalam menangani isu dadah secara serius, Kerajaan Negeri telah menetapkan Fokus 5 Tahun di bawah Strategi Penang Lawan Ancaman Dadah (PLAD) menerusi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang ke arah merealisasikan Matlamat Dadah Terkawal 2025.

“Selain peruntukan sebanyak RM12,850 disalurkan bagi tujuan Kempen Antidadah di tujuh kawasan tersebut sejak tahun 2021, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM318,000 untuk tempoh lima tahun bagi mencapai hasrat tersebut.

“Malah, Kerajaan Negeri juga sentiasa menyokong dan komited dalam menjayakan apa juga usaha yang dilaksanakan bagi menangani masalah dadah di negeri ini.

Berucap sebelum merasmikan Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan Tahun dan Jerayawara Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022

“Semua usaha dan pendekatan yang dijalankan melalui kerjasama strategik serta pintar amatlah penting bagi memastikan program yang berimpak tinggi dan kos efektif dapat dijayakan,” katanya ketika merasmikan Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan Tahun dan Jerayawara Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 dekat Dewan Pintar, Taman Guar Perahu di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan, Sutekno Ahmad Belon; Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin; Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad; Pengarah (AADK) Pulau Pinang, Elmariah Chung dan Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah, Kamarul Haizal Koderat.

Pada masa sama, Kon Yeow turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek penghijauan Mukim 21 yang merupakan kawasan ‘hotspot’ kegiatan penyalahgunaan dadah sebelum ini.

“Selepas menjadi Projek Rintis bagi Menangani Penyalahgunaan Dadah, Substans dan Pelencongan Sosial di bawah Inisiatif Penghijauan KBT Penagihan Dadah sejak September 2019, kita dapat lihat keadaan yang berbeza kini.

“Saya pasti rakyat di kawasan ini berasa lebih yakin dan selamat sejak adanya usaha-usaha yang dilaksanakan di Mukim 21 ini khususnya,” katanya sambil menambah bahawa Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan RM66,000 bagi pelaksanaan Projek Rintis tersebut.

Buletin Mutiara antara rakan strategik AADK Pulau Pinang yang menerima sijil penghargaan.

Dalam pada itu, Sutekno yang turut berucap sebelum itu berharap agar jumlah penagih dadah seramai 8,185 orang yang dikesan dan dirawat di negeri Pulau Pinang pada tahun 2021 dapat dikurangkan pada tahun ini

“Justeru, usaha kita sama ada di peringkat kebangsaan mahupun negeri memberi tumpuan untuk mengurangkan penawaran melalui kerjasama Polis Malaysia (PDRM) bagi mengesan pembekal-pembekal (dadah).

“Di peringkat AADK pula, kita akan mengesan penagihan dadah seramai mana yang boleh supaya kita dapat bawa mereka ke institusi-institusi berkaitan untuk dirawat.

“Jadi kita berharap komuniti-komuniti setempat dapat berhubung dengan PDRM (Polis Diraja Malaysia) atau AADK untuk memberi maklumat supaya kita dapat mengurangkan penagihan dadah di negeri Pulau Pinang pada tahun 2022 dan seterusnya.

Menyampaikan cenderahati kepada Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan, Sutekno Ahmad Belon.

“Tumpuan kita adalah pada akhir tahun 2025 nanti, bagi setiap 100,000 penduduk kita akan mengurangkan kadar penyalahgunaan dadah di bawah 400 orang dan usaha ini perlu dilakukan secara bersama,” katanya sambil mengucapkan penghargaan kepada pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas kerjasama yang diberikan.

Mengulas lanjut, Norlela berkata bahawa selepas Mukim 21, usaha membenteras penyalahguaan dadah akan diteruskan ke kawasan KBT yang lain termasuk Mukim 20 Seberang Perai Tengah yang disasarkan untuk dihijaukan pada tahun ini.

“Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Inisiatif Penghijauan KBT Mukim 21, serta pihak-pihak berkaitan yang menunjukkan komitmen serta kesungguhan bersama-sama AADK dan agensi lain dalam membersihkan kawasan ini dari penyalahgunaan dadah,” ulasnya.

Difahamkam, Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan Tahun dan Jerayawara Peringkat Negeri Pulau Pinang tahun ini masih lagi mengekalkan tema yang sama iaitu ‘Lebih Baik Cegah’ yang signifikan dengan usaha AADK dalam mencegah penyalahgunaan dadah.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : LAW SUUN TING