Tragedi lombong Puchong: Exco sampaikan sumbangan zahirkan ucapan takziah

Admin

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo hari ini menyampaikan sumbangan bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada keluarga enam anggota bomba yang dipercayai lemas di lombong dekat Puchong 3 Oktober lalu.

 

Sumbangan berjumlah RM6,000 itu diserahkan kepada Pemangku Penolong Pengarah Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Cawangan Pulau Pinang, PgKBI Muhammad Tarmizi Md. Jaafar di Komtar pagi tadi.

 

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, turut menzahirkan rasa simpati dan menyampaikan salam takziah kepada semua keluarga mangsa terbabit.

 

Beliau menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu tragedi dan berharap keluarga mangsa tabah menghadapinya.

 

“Saya percaya, pengorbanan mereka yang kehilangan nyawa sewaktu menjalankan tugas amat dirasai oleh semua (rakyat Malaysia),” ujarnya yang turut terkesan dengan tragedi itu.

 

Turut menyampaikan salam takziah, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer dan ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong.

 

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

 

Dalam kejadian malam Rabu itu, enam anggota terbabit meninggal dunia dipercayai lemas selepas terperangkap dan terbelit tali dalam pusaran arus deras ketika operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa lain yang dipercayai terjatuh ke dalam lombong itu.

 

 

Oleh : YUSNINA YUSOF
Gambar : ALISSALA THIAN