Usul perumahan Pulau Pinang ke Putrajaya disambut baik Menteri KPKT

Admin

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang membawa beberapa usul berkaitan isu perumahan dalam pertemuan bersama-sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin disambut baik.

 

Pertemuan yang diadakan di Putrajaya semalam (4 Oktober) merupakan pertemuan julung kali membabitkan semua Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan seluruh Malaysia.

 

Menurut Jagdeep, salah satu isu yang disambut baik oleh Menteri berwajib adalah berhubung Projek Perumahan Rakyat (PPR).

 

“Sebagai makluman semua, Pulau Pinang merupakan negeri terendah yang memiliki unit-unit PPR iaitu 999 unit sahaja dan dalam pertemuan semalam, Zuraida menyatakan komitmen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menambah bilangan unit.

 

“Malah, beliau (Zuraida) meminta supaya setiap negeri mengemukakan senarai tanah-tanah yang berpotensi untuk dibangunkan unit-unit PPR.

 

“(Dan) bagi Pulau Pinang, saya akan menulis surat kepada beliau (Zuraida) hari ini untuk memberikan senarai cadangan tanah di kelima-lima daerah untuk dibangunkan PPR,” ujarnya pada sidang media di Komtar pagi ini.

JAGDEEP Singh Deo (duduk, tengah) pada sidang media di Komtar pagi ini.

Selain daripada dua plot tanah di Kota Giam dekat Sungai Pinang yang sudahpun diluluskan pemajuannya, kata Jagdeep, terdapat plot-plot lain yang dikenal pasti berpotensi untuk dimajukan.

 

Antaranya, di daerah Barat Daya di Lot 8471, Mukim 12 seluas 7.82 ekar, di daerah Timur Laut (Lot 75, Mukim 6; PT36; PT37) (4.83 ekar); di daerah Seberang Perai Utara (PT724) (13 ekar); di daerah Seberang Perai Tengah (Lot 1061 – 1065; Lot 1072 – 1078; Lot 1084 – 1088) (25 ekar) dan di Seberang Perai Selatan (Lot 20843; Lot 20842) (3.43 ekar).

Dalam pada itu, menyentuh usul dana penyelenggaraan Persekutuan di bawah Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia pula, Jagdeep memaklumkan bahawa ia akan diteruskan.

“Saya ada memaklumkan kepada beliau (Zuraida) bahawa di Pulau Pinang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), terdapat 126 permohonan (kerja-kerja penyelenggaraan) berjumlah RM66.4 juta yang masih belum menerima apa-apa kelulusan.

“(Dan) beliau mengambil maklum akan semua permohonan di bawah tabung berkenaan, dan pastinya kita (Kerajaan Negeri) amat berharap untuk mendengar berita baik berhubung perkara ini nanti,” katanya.

Pada masa sama, Jagdeep turut memberitahu bahawa semua Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang hadir semalam menyuarakan kepayahan untuk menjual unit-unit rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan rumah mampu milik ekoran kadar penolakan pinjaman perumahan yang begitu tinggi.

“Isu kadar penolakan pinjaman perumahan yang tinggi sudah lama disuarakan oleh Pulau Pinang, dan saya berharap akan ada berita baik daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung perkara ini kelak.

 

“Saya percaya Kerajaan Persekutuan sedang mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu ini,” katanya yang memuji tindakan proaktif dan reaksi positif Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhubung usul-usul yang dibangkitkan pada pertemuan semalam.

 

Dalam sidang media sama, Jagdeep turut memaklumkan bahawa beliau akan membuat permohonan bagi menaik taraf status Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

 

“Saya akan meneruskan prosedur berikutnya untuk membuat permohonan kepada Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf status MPSP kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai.

 

“Malah, Menteri secara khusus juga memaklumkan bahawa tiada sebarang halangan untuk satu negeri mempunyai lebih daripada satu Majlis Bandaraya,” jelasnya sambil menzahirkan penghargaan terhadap komitmen yang diberikan oleh Menteri berkaitan.

 

Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong turut sama dalam sidang media pagi ini.

 

 

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN