Transformers ‘beraya’ di P. Pinang mulai 10 Julai

GEORGE TOWN – Replika ‘Optimus Prime‘ dan ‘Bumblebee‘ dalam filem Transformers akan dipamerkan secara terbuka di Padang Kota Lama di sini menjelang perayaan Aidilfitri nanti.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pameran selama hampir dua bulan mulai 10 Julai hingga 17 September depan diharap menarik lebih ramai pelancong, khususnya kanak-kanak ke negeri ini.

“Ini, adalah pameran mega pertama yang diadakan serta terbuka, tidak pernah ada penganjuran pameran Transformers  seumpama ini di Asia Tenggara.

“Tentunya dengan penganjuran yang diadakan menjelang Aidilfitri, ia akan bertambah meriah khususnya untuk kanak-kanak dan mereka yang begitu meminati filem Transformers,” jelas Guan Eng kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Katanya, Kerajaan Negeri bersetuju dengan konsep pameran tersebut antara lain demi mempromosi kempen Tahun Melawat Pulau Pinang dan Tahun Melawat Malaysia 2015.