Pusat Pembelajaran Kreatif harap beri impak berkesan masa depan negeri

GEORGE TOWN – Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) dan kumpulan pengurusan tadika, Whyte House Education Group (Whyte House) bekerjasama mewujudkan Pusat Pembelajaran Kreatif bagi kepentingan pembelajaran golongan kanak-kanak di Perpustakaan Kanak-kanak di sini baru-baru ini.

Pengerusi Whyte House, Jerry Yeoh berkata, pusat berkaitan bukan hanya menfokuskan kepada akademik semata-mata, bahkan lebih kepada pembelajaran seharian.

“Ia diwujudkan bagi meningkatkan keupayaan kanak-kanak berfikir dengan matang dan kreatif mengikut perkembangan usia masing-masing.

Ini kerana, pada usia sebelum seseorang kanak-kanak memasuki alam persekolahan, mereka adalah gemar menjalankan eksperimen bagi mengetahui ‘kebenaran’ sesuatu perkara.

“Kerap kali ibu bapa bertanya kepada saya, apa yang selalu saya ajar kepada golongan kanak-kanak?

“Saya menegaskan bahawa saya mengajar perkara asas seperti A, B, C dan 1, 2, 3 seperti biasa, namun lebih menekankan aspek kreativiti dalam mengembangkan minda mereka kerana pada usia berkaitan, mereka masih tidak perlu ‘dipaksa’,” ucapnya pada Majlis Pelancaran Pusat Pembelajaran Kreatif dan The Nursery Book Stories di sini baru-baru ini.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh isteri kepada Yang di-Pertua Negeri (TYT), Toh Puan Majimor Shariff.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy selaku Pengerusi PPAPP. Malah, majlis berkaitan turut diserikan dengan kepelbagaian persembahan kanak-kanak seperti teater, nyanyian, bercerita dan tarian.

Dalam pada itu, Ramasamy berharap pusat pembelajaran berkaitan dapat memberi impak berkesan kepada masa depan pendidikan di Pulau Pinang.

“Pembelajaran merupakan strategi penting dalam membina masa depan negeri (Pulau Pinang) yang lebih baik yang mana ia adalah bermula dari aset berharga iaitu golongan kanak-kanak,” ujar beliau.

} else {