Tubuh koperasi bantu tingkat pendapatan masjid – Angkasa

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

BANDAR PERDA – Hampir 100 peserta mewakili masjid masing-masing di seluruh negeri ini hadiri Bengkel Pembangunan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid Negeri Pulau Pinang sebagai usaha menambah pendapatan institusi berkenaan dan ahli kariah di sini baru-baru ini.

Bengkel anjuran Perhubungan Angkasa Negeri Pulau Pinang (Angkasa) dengan kerjasama daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Giatmara Pulau Pinang dan Koperasi Masjid Taman Bertam Indah Berhad, Kepala Batas itu bertujuan memberi pendedahan kepada ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan ahli kariah dalam bidang perniagaan.

Ahli Jawatankuasa Angkasa, Datuk Ismail Umar yang hadir pada majlis penutupan bengkel itu berkata, bengkel yang diadakan baru-baru ini diharap dapat membantu dari segi peningkatan ekonomi masjid-masjid di negeri ini.

“Pihak Angkasa akan membantu sedaya upaya proses penubuhan koperasi kariah dan bakal membayar kos perbelanjaan untuk mengadakan majlis perasmian kelak.

“Saya harap para hadirin yang hadir pada hari ini akan lebih bersemangat untuk menceburi bidang ini setelah pulang dan berbincang dengan AJK masjid masing-masing nanti,” katanya pada majlis berkenaan di sini.

Hadir sama, Ustaz Azmi Masjuri, Imam Utama Masjid Daerah Seberang Perai Tengah dan Zariati Osman (Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Pulau Pinang Wilayah Seberang Perai Utara).

Tambah Ismail, perniagaan koperasi bukan sahaja tertumpu kepada perniagaan kecil-kecilan, malah boleh juga memberi tumpuan kepada perniagaan berskala besar.

“Mereka boleh juga mencuba nasib dalam perniagaan katering, pelancongan, kedai runcit, pusat tuisyen dan tadika,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Azmi berkata, setiap ahli kariah harus merebut peluang terbabit kerana masih terdapat banyak masjid yang belum menubuhkan koperasi.

“Saya harap ahli yang hadir pada hari ini dapat membawa idea kepada pengerusi masjid sehingga tertubuhnya koperasi sendiri,” seru beliau.