Tukar 100 bekas telur jadi Jalur Gemilang, YDP MPSP harap warga Seberang Perai kongsi mesej Merdeka

SEBERANG JAYA – Papan tanda mega Jalur Gemilang yang diperbuat daripada bahan ‘upcycle’ iaitu 100 bekas telur akan ditempatkan di lobi Ibu Pejabat Kompleks Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dekat Bandar Perda di sini.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berharap warga Seberang Perai dapat meluangkan masa menulis mesej patriotik sempena sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos ini, untuk dilekatkan di papan tanda mega tersebut.

Katanya, projek ‘upcycle’ itu bukan sahaja menjadi mercu tanda kreativiti warga setempat, bahkan merupakan simbol komitmen MPSP untuk Seberang Perai diiktiraf sebagai bandar rendah karbon pada tahun 2022 nanti.

“Sebelum ini, kita telah mengubah kolam takungan menjadi taman rekreasi yang cantik, dengan peralatan dihasilkan adalah adalah daripada barang terbuang seperti tayar, kayu pallet, botol plastik dan sebagainya.

“Sempena sambutan Hari Kemerdekaan kali ini, MPSP dengan kerjasama Zart Eventive membuat satu lagi projek ‘upcycle’, iaitu Jalur Gemilang daripada 100 bekas telur yang disumbangkan oleh pengusaha premis-premis makanan sekitar kawasan Butterworth.

“Bekas telur ini diwarnakan oleh orang ramai semasa Program Sepagi Tanpa Kenderaan pada hari Ahad, 5 Ogos (2018) lalu di pasar raya Sunway Carnival Seberang Jaya.

“Cantuman kotak bekas telur ini, menjadi Jalur Gemilang, ditempatkan di lobi ini, dan kita sediakan nota pelekat (sticker note) untuk kakitangan MPSP dan orang ramai terutama warga Seberang Perai untuk menulis nota sempena Hari Kemerdekaan serta pamerkan di atas (papan tanda mega) Jalur Gemilang ini,” jelasnya dalam sidang media di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda pada tengah hari 27 Ogos 2018.

Pada majlis sama, Rozali turut merakamkan ucapan terima kasih serta menyerahkan sijil penghargaan kepada Pengarah Urusan Zart Eventive, Zaini Zainul kerana membantu menjayakan Kempen ‘Sayangi Malaysiaku’ anjuran MPSP.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD