TUTM manfaat petani, penternak & nelayan

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM) baru dilancarkan serentak dengan majlis perasmian pembukaan Agrofest Pulau Pinang 2014, yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dalam ucapannya berharap, skim mikrokredit yang menawarkan pinjaman maksimum hingga RM5,000 tersebut dapat memberi manfaat kepada kaum tani, peladang, penternak dan nelayan.

“Kerajaan Negeri percaya program ini (TUTM) dapat memberi galakan kepada para pengusaha, terutamanya golongan muda untuk meningkatkan pendapatan mereka,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada majlis berkenaan di sini barubaru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon turut berucap pada majlis tersebut, mewakili Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan isteri, Datuk Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) dan isteri, Datuk Abu Jamal Nordin (Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan)) dan isteri turut hadir pada majlis tersebut.

Agrofest dulu dikenali sebagai Hari Peladang, Penternak, Nelayan dan Karnival Koperasi, yang dianjurkan tiap-tiap tahun oleh Kerajaan Negeri. Manakala, TUTM yang baru dilancarkan tersebut adalah selepas Kerajaan Negeri memperkenalkan Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) khas kepada golongan usahawan di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sebelum ini.

Direkodkan, jumlah pengeluaran tahunan 2013 bagi produk pertanian seperti padi, buahbuahan, sayur-sayuran, tanaman ladang dan rempah ratus adalah sebanyak 1,829,077 tan dengan nilai pengeluaran menghampiri RM673,182,241.

Dr. Afif menjelaskan, pendaratan ikan turut meningkat sebanyak 58,200.71 tan pada tahun lepas (2013) berbanding 52,485.41 tan (2012).

“Matlamat untuk mencapai food security bagi negeri Pulau Pinang bukanlah sesuatu yang mustahil.

“Atas kesedaran ini, Kerajaan Negeri telah memulakan beberapa inisiatif projek melibatkan sektor pertanian seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Juru dan Zon Industri Akuakultur di Penaga,” ujar Afif.

Tambah beliau, pihaknya turut merancang memajukan satu lagi projek untuk tujuan penternakan dan agropelancongan di atas sebidang tanah milik Kerajaan Negeri dekat Ara Kuda, Seberang Perai Utara (SPU).

Dalam pada itu, Mohamad Rezwan Mazlan, 32, yang memenangi Anugerah Kategori Ruminan Besar (ternak lembu).

“Alhamdulillah, saya terpilih kali ini.

“Sekarang ada lebih kurang 150 ekor lembu, mungkin saya pun akan pertimbang untuk mohon skim mikrokredit ini (TUTM), sebab saya tidak pernah mendapat mana-mana skim bantuan pinjaman sebelum ini,” ujarnya yang mengurus kandang lembu dekat Lorong Kulit berhampiran Stadium Bandaraya, George Town.

Bagi Rahemy Addul Rahim, 35, yang memenangi Anugerah Kategori Usahawan Tani Muda turut menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri memperkenalkan TUTM.

“Saya pun ada cadangan juga untuk memohon skim ini. Anugerah ini memanglah memberi galakan kepada kami untuk memajukan bidang pertanian ini untuk keluarga kami,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara baru-baru ini.