Pelawa organisasi pakar jadi penasihat PIP negeri

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow mempelawa mana-mana organisasi berkepakaran dalam bidang pengangkutan dan prasarana untuk menjadi penasihat dalam merangka Indeks Pembangunan Pulau Pinang (PIP) bagi tempoh 2015 hingga 2030 sebagai jaminan mewujudkan sistem pengangkutan serta trafik yang lebih efisien di negeri ini.

Melalui Jawatankuasa Pelaksanaan Pengangkutan Pulau Pinang (PTP), badan berkenaan yang diketuai Kon Yeow akan meminta pembida-pembida mengkaji PIP dikemukan bagi mendapatkan satu solusi terbaik dalam melaksanakan projek mega bernilai RM27 bilion (anggaran awal) merangkumi aspek pejalan kaki, kenderaan, jalanraya dan pengangkutan awam.

“Melalui PTP, kita (Kerajaan Negeri) akan melantik sebuah konsultan bertindak sebagai Projek Delivery Partner (PDP) yang bakal memperhalusi sebaik mungkin pelaksanaan PIP merangkumi pelan, pelaksanaan, bajet, sumber kewangan, selenggara dan semua aspek yang dilihat perlu.

“Ini adalah bagi menjamin kejayaan projek ini dengan memberi implikasi positif kepada seluruh rakyat Pulau Pinang.

“Perkara ini dilihat sebagai sebuah projek yang perlu diberi keutamaan memandangkan aliran trafik, pertambahan kenderaan dan kemasukan pelancong tempatan ke negeri ini berada pada kadar yang tinggi ketika ini,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Menurut Kon Yeow, antara pelaksaan yang terkandung dalam PIP adalah merangkumi pelebaran lebuhraya sedia ada, Transit Aliran Ringan (LRT)/Transit Aliran Sederhana (MRT), tram, bas bersepadu, laluan motosikal dan pejalan kaki, laluan basikal termasuk perkhidmatan jaringan feri yang lebih luas dan efisien.

“Buat masa ini, hanya sebahagian daripada projek ini dilihat bergerak iaitu membabitkan pembinaan terowong bawah tanah menghubungkan George Town ke Bagan, Seberang Perai Utara (SPU) dan beberapa jalan pintas di dalam pulau (peringkat kajian kesan alam sekitar).

“Syarikat pembida bakal dilantik sebagai PDP adalah perlu mempunyai latar belakang baik dari segi pengalaman melaksanakan projek mega, selain kedudukan kewangan yang kukuh,” jelasnya.

Kon Yeow memberitahu, bagi melaksanakan projek besar itu, adalah mustahil untuk meletakkan bebanan tersebut kepada Kerajaan Negeri semata-mata memandangkan ia memerlukan sejumlah kepakaran yang terbaik dari segenap aspek.

“Bagi organisasi yang berminat, mereka (pihak-pihak berkenaan) dipelawa datang ke Bahagian Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Tingkat 56, Komtar bagi mendapatkan maklumat serta salinan pelan awal yang dibuat oleh PTP untuk ditambahbaik sebelum mengemukakan satu laporan baru bermula Ogos ini (akan dimaklumkan lagi).

“Setelah mendapatkan dokumen terbabit, para pembida akan diberi tempoh selama tiga bulan untuk mengemukakan satu laporan lengkap mengenai pelan masing-masing sebelum dipilih Kerajaan Negeri dan komisen akan dibayar kepada pembida yang berjaya (anggaran enam peratus nilai projek),” jelas Kon Yeow.