TUTM tunai hasrat Fauzan kembang tani tanam cili

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

KIRA-kira tiga tahun lalu, FAUZAN JASMI, 28, hanya menanam cili secara kecil-kecilan di sekitar kawasan rumahnya di Sungai Acheh, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan (SPS).

Selain menghasilkan tanaman sendiri yang selamat untuk dimakan, pengeluaran cili yang diusahakannya turut mendapat
permintaan tinggi di sekitar kawasan Sungai Acheh.

Pemuda berjiwa kental yang lebih disenangi dengan nama panggilan Fauzan tersebut memberitahu, penghasilan cili dari
ladangnya bukan sahaja dipasarkan di kedai-kedai runcit sekitar Sungai Acheh, malah turut mendapat permintaan dari kantin-kantin sekolah di sana.

“Permintaan terhadap cili sentiasa ada, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat setempat, kedai runcit dan kantin sekolah, tetapi ia akan bertambah ketika musim kenduri untuk kegunaan pihak katering.

“Justeru, pinjaman TUTM (Pinjaman Tabung Usahawan Tani Muda) ini diharap dapat menunaikan hasrat saya untuk mengembangkan lagi penanaman pokok cili sedia ada,” ujarnya kepada Buletin Mutiara sejurus selepas Majlis Penyampaian Cek Pinjaman TUTM kepada tujuh usahawan tani terpilih di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Hadir sama, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Shahbani Ismail.

Pada majlis sama, Afif berkata, Kerajaan Negeri kini sedang mempertimbangkan penambahan jumlah bantuan TUTM sejajarnya dengan usaha untuk meningkatkan pembabitan golongan muda dalam industri asas tani.

“Kita (Kerajaan Negeri) telah memperuntukkan RM250,000 setahun bagi tabung (TUTM) ini sebagai galakan kepada para pengusaha, teruatamanya golongan muda yang berusia 40 tahun dan ke bawah.

“Malah, kini Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk meningkatkan jumlah bantuan sedia ada iaitu pinjaman maksimum RM5,000 kepada RM10,000, RM15,000 dan RM20,000 bagi membantu mengembangkan perusahaan pertanian, penternakan dan perikanan di negeri ini,” jelas beliau.

Sejak TUTM dilancarkan pada 13 Jun 2014, sejumlah 66 usahawan tani telah menerima manfaat daripada program tersebut, membabitkan dana peruntukan berjumlah RM330,000.