Exco jemput penternak bincang, tangani isu kacau ganggu lalat

Admin

BUKIT TAMBUN – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin sekali lagi turun meninjau sendiri keadaan kacau ganggu lalat di sekitar kawasan Sekolah Antarabangsa GEMS (GEMS) dan sebuah pasar raya di sini baru-baru ini.

Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya memberitahu, pihaknya mengalu-alukan pemilik ladang-ladang ayam terbabit supaya segera ke pejabatnya, untuk berbincang dan mencari solusi terbaik.

“Kalau nak salahkan penternak, mereka lebih lama di sini, kerana pembangunan baharu di sini ratarata diluluskan sebelum tahun 2008.

“Setakat ini, difahamkan, pemilik-pemilik ladang ada datang berjumpa dengan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), namun dengan pejabat saya belum lagi.

“Saya harap ianya dapat dilakukan supaya isu lalat ini dapat diatasi,” jelasnya selepas meninjau kawasan berwajib baru-baru ini. Bercakap pada sidang media sama, Pegawai Jabatan Veterinar MPSP, Dr. Fadilah Abdul Rahim memberitahu, terdapat kira-kira lima ladang ternakan ayam di kawasan berhampiran dan empat daripadanya masih aktif.

“Ladang terdekat pula hanya 200 meter dari sini (pasar raya),” respons beliau. Pada 5 September tahun lepas, Afif bersama-sama Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Maktar Shapee yang juga ADUN Sungai Bakap turun meninjau kawasan berkaitan selepas mendapat aduan langsung daripada pentadbiran sekolah GEMS.

Ketika itu, Afif menyatakan bahawa, isu kacau ganggu lalat boleh diselesaikan apabila peladangan moden secara tertutup dilaksanakan.

Menurut beliau, rang undang-undang baharu berhubung Enakmen Penternakan Babi 2016 dibentangkan dalam DUN Pulau Pinang pada November 2016 dan akan dikuatkuasakan bermula tahun 2019.

Menurut enakmen tersebut, empat kriteria Modern Pig Farming yang telahpun digariskan, iaitu, sistem penternakan babi secara tertutup; mempunyai kawasan penampan; zero discharge dan Good Animal Husbandry Practices (GAHP).

“Kerajaan Negeri akan berbincang dengan semua pihak berkepentingan untuk melaksanakan penternakan ayam secara moden dan tertutup, walaupun ketika ini belum ada lagi enakmen baharu yang khusus untuk peladangan unggas di negeri ini,” jelas
Afif.