TYT, ADUN Bukit Tambun agih 400 bakul makanan Deepavali secara pandu lalu

Admin
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak diiringi Goh Choon Aik menyampaikan pek bakul bantuan makanan kepada penerima terpilih di perkarangan pintu utama Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan di sini pada pagi ini.

BUKIT TAMBUN – Sempena perayaan Deepavali yang kian kunjung tiba, pada pagi ini Pusat Khidmat Rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik menganjurkan program agihan 400 pek bakul bantuan makanan kepada golongan terpilih dalam kalangan komuniti setempat secara pandu lalu.

 

GOH Choon Aik

Bercakap kepada pemberita, Choon Aik turut merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertua Negeri Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak yang turut menyaksikan perjalanan majlis tersebut di perkarangan pintu utama Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan di sini.

“Walaupun agihan bakul makanan melibatkan 400 penerima tetapi pada pagi ini hanya 200 sahaja akan mengambil bantuan secara pandu lalu bagi mengurangkan kontak fizikal.

“Program sumbangan ini merupakan acara tahunan yang turut dijalankan oleh Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tambun… demi memastikan tiada yang dipinggirkan, dan semua di sini hidup secara harmoni dalam masyarakat berbilang bangsa, latar belakang dan kepercayaan.

“Mewakili seluruh rakyat Pulau Pinang di KADUN Batu Kawan, saya ingin mengalu-alukan Tun (Ahmad Fuzi) ke kawasan ini bagi menjayakan majlis ini,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintendan Baeyah Abdul Wahab dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Anuar Yusoff.

Dalam perkembangan lain, Choon Aik turut merakamkan penghargaan kepada seluruh anggota barisan hadapan yang menjayakan pengoperasian Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) peringkat negeri Pulau Pinang di kira-kira 50 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berkaitan sehingga 31 Oktober 2021 lepas.

“Bukan mudah, namun kita berjaya melakukannya! Kita telah berjaya memastikan 1.5 juta rakyat serta penduduk Pulau Pinang lengkap divaksinasi.

“Pencapaian serta kejayaan ini adalah hasil usaha sama semua pihak tanpa mengira latar belakang serta kepercayaan dan juga tanpa mengira agensi negeri dan juga Persekutuan,” jelasnya yang juga ADUN ‘Angkat’ bagi KADUN Sungai Acheh.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB