Umum sambut baik pelaksanaan bazar Ramadan online

UMUM telah sedia maklum, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mengakibatkan perniagaan bazar yang lazimnya diadakan menjelang Ramadan setiap tahun terpaksa dibatalkan secara fizikal di kebanyakan negeri tahun ini demi menghalang penularan wabak COVID-19.

Sehingga kini, beberapa negeri antaranya Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, malahan Pulau Pinang sendiri telah mengambil pendekatan membatalkan operasi bazar Ramadan bagi mengekang wabak berkenaan.

Meskipun begitu, dengan adanya pelbagai platform teknologi dan laman-laman sosial, inisiatif bazar Ramadan secara atas talian atau online adalah mekanisme terbaik buat masa ini untuk membantu para peniaga meneruskan jualan makanan ataupun barangan mereka, di samping membolehkan para pembeli mendapatkan juadah berbuka mahupun kelengkapan Syawal nanti.

Bagi pengasas dan juga pentadbir Penang Best Halal Food Delivery (PBHFD), ISMALISA ISHAK, 39, platform jualan makanan secara online yang diilhamkannya sejak lima tahun lalu kini merupakan antara kumpulan jualan online yang paling aktif di Pulau Pinang dan juga Seberang Perai.

Jelasnya, PBHFD ditubuhkan secara atas talian dengan menggunakan platform Facebook semenjak tahun 2015 dan beliau menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri melancarkan platform bazar Ramadan online baru-baru ini.

“Ia (PBHFD) merupakan antara kumpulan jualan makanan online paling aktif dengan kini mempunyai kira-kira 500 peniaga berdaftar di seluruh Pulau Pinang.

“Apa yang penting untuk melakukan jualan atau bazar secara online ini adalah menetapkan syarat dan peraturan yang jelas terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang penipuan peniaga ataupun ketika berurus niaga, dan ia disusuli dengan melantik pentadbir agar pemantauan dapat dilakukan.

“InsyaAllah dengan syarat dan pemantauan yang betul, bazar Ramadan online tahun ini akan berjaya kerana kini pembelian secara online bukanlah perkara asing bagi masyarakat sekarang,” ujarnya kepada Wartawan Buletin Mutiara, NORSHAHIDA YUSOFF.

ISMALISA Ishak (tengah) bersama-sama pentadbir PBHFD, Nazariah Hanoum Osman Marican (kiri) dan Aimisazwani Zainal Abidin (kanan).

Menurut Ismalisa, bagi mengendalikan kira-kira 500 peniaga berdaftar di bawah PBHFD, beliau turut dibantu oleh dua rakan-rakannya iaitu Nazariah Hanoum Osman Marican dan Aimisazwani yang juga merupakan pentadbir platform tersebut.

“Bagi memastikan para peniaga kami mempunyai keyakinan untuk mempromosikan makanan mereka, kami sentiasa memberikan tips serta dorongan dari semasa ke semasa, malah selain Facebook, kami mewujudkan kumpulan WhatsApp khas melibatkan semua peniaga agar memudahkan pihak pentadbir memantau dan menghebahkan sesuatu makluman.

“Ada juga lakukan sesi berkongsi ilmu pemasaran oleh peniaga yang lebih berjaya dan kadang kala kami sendiri (pentadbir) mengadakan sesi siaran langsung #adminreview di PBHFD.

“Dengan cara ini (#adminreview) ia membolehkan pengunjung ataupun peniaga di PBHFD mengetahui makanan terkini, sedap dan kualiti makanan yang dijual para ahli (peniaga)… ini boleh meningkatkan keyakinan para penjual lain,” jelas beliau yang tidak lokek berkongsi ilmu kejayaannya mengendalikan kumpulan perniagaan online.

Tanpa bersua dengan para pembeli, mungkin kebanyakan peniaga ‘tradisional’ sangsi akan kemampuan sumber jualan daripada platform online hingga mereka takut untuk mencuba. Justeru Buletin Mutiara cuba merungkai pendapatan para peniaga yang hanya melakukan jualan secara online ini.

Ismalisa memberitahu bahawa rata-rata pendapatan ahlinya amat memberangsangkan.

“Ada juga peniaga yang memaklumkan bahawa sejak mempromosikan makanan mereka secara online, mereka tidak menang tangan untuk menguruskan tempahan yang masuk.

“Bukan sahaja pembelian dilakukan oleh pengunjung, kadangkala peniaga juga menjadi pelanggan, mereka sebenarnya sangat memberi sokongan kepada satu sama lain… misalannya peniaga kuih-muih ingin membeli laksa, mereka akan cuba dapatkan (beli) daripada kalangan ahli kumpulan juga, ini menunjukkan sokongan padu dan perkembangan positif.

“Bazar Ramadan online secara besar-besaran di Pulau Pinang dan kebanyakan negeri tahun ini boleh berjaya dan menghasilkan pendapat lumayan kepada para peniaga, jika ianya dilakukan dengan cara yang betul,” ujar beliau.

Berbeza pandangan, bagi MOHD. AZMI FAZIL, 40, iaitu Arkitek di Jabatan Konservasi Warisan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Baginya, dalam situasi negara berhadapan dengan wabak COVID-19, mengadakan bazar Ramadan seperti tahun-tahun sebelum ini secara meriah bukanlah bertepatan kerana ia mempunyai risiko besar kepada orang ramai meskipun menggunakan pendekatan pembelian secara bungkus.

“Risikonya amat tinggi disebabkan interaksi di antara pengunjung dan para pembeli tanpa kawalan di bazar.

“Ini adalah waktu paling sesuai kepada semua pengusaha untuk menggunakan platform atas talian, mereka (peniaga) mungkin boleh buat video pendek yang menarik tentang tatacara untuk membuat pesanan… dan pastikan gambar makanan atau produk yang ingin dijual juga menarik, ini adalah faktor penarik kepada pembeli selain testimoni dan juga maklum balas,” ulasnya.

Menurut beliau, bazar Ramadan online lebih mudah, cepat dan selamat.

“Ia lebih mudah kerana pesanan dapat dilakukan di hujung jari sahaja menggunakan teknologi digital dan lebih menjimatkan masa apabila tidak lagi perlu bersesak-sesak di bazar Ramadan sambil beratur panjang, sekaligus mengurangkan risiko kita daripada dijangkiti wabak berkenaan,”ujarnya lanjut.

Sementara itu, tinjauan Buletin Mutiara di Facebook mendapati beberapa platform bazar Ramadan online telah mula diwujudkan dan ini menunjukkan langkah proaktif dalam kalangan para peniaga demi menyahut saranan kerajaan.

Bagi ibu kepada tiga cahaya mata, NOOR IZZYATUL ASHIKIN ISMAIL, 35, Pegawai Tadbir, zaman teknologi maklumat dengan semuanya di hujung jari kini amat membantu ibu berkerjaya sepertinya.

“Dengan menggunakan kemudahan seperti ini, ia amat membantu, pembeli tidak lagi perlu bergerak jauh dan bersesak-sesak sebaliknya boleh memilih dan membeli juadah mahupun kelengkapan raya di atas talian.

“Secara tidak langsung, kita membantu menjana ekonomi peniaga-peniaga kecil supaya menjana pendapatan.

“Malah, saya rasa ia lebih mudah, jika saban tahun perlu pergi ke bazar Ramadan, tetapi tahun ini kita cari saja keperluan melalui platform online, semuanya siap tersedia ikut belanjawan keluarga,” ujarnya sambil menyifatkan cara ini juga dapat mengelakkan pembaziran pembelian barangan atau juadah berbuka yang tidak perlu.