GEORGE TOWN – Unit Pengurusan Bencana yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah bertujuan untuk mengintegrasikan pergerakan bantuan ketika berlaku bencana.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa berkata Unit Pengurusan Bencana yang diletakkan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) itu juga akan menjalinkan kerjasama dengan beberapa agensi berkepentingan yang lain.
“Sudah pasti kerjasama erat diperlukan seperti dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pihak polis, pejabat daerah, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dan pejabat Ketua Menteri.
“Jaringan baik juga harus dibina bersama NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) yang menjadi pihak paling penting apabila terjadi sebarang bencana di negara ini,” ujaranya pada Majlis Perasmian Unit Pengurusan Bencana dan Pelancaran Bilik Pemantauan Pengurusan Bencana di tingkat 30, Komtar di sini tengah hari tadi.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah; Setiausaha Sulit Kanan Kepada Ketua Menteri, Muhamad Azrai Mohamad Zaini; Ketua Unit Pengurusan Bencana, D. Ambika Devi dan Ketua-ketua jabatan lain yang terlibat.
Difahamkan, Pulau Pinang merupakan negeri yang kelima menubuhkan unit berkaitan yang sudah berusia setahun enam bulan.
Sementara itu, Ambika Devi memberitahu bahawa Unit Pengurusan Bencana kini sedang melakukan persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan ekoran ramalan monsun timur laut yang dijangka bermula bulan hadapan.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN