Untung tender terbuka, pasar awam siap ikut jadual – KM

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TENGAH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pembinaan Pasar Awam Perkampungan Juru yang menelan belanja RM1,398,000 dalam tempoh enam bulan dan siap pada 30 Mei lepas menjadi satu lagi rekod Kerajaan Negeri mengotakan janjinya demi keselesaan hidup rakyat di negeri ini.

“Ada orang kata rakyat Malaysia tak biasa dengan tender terbuka, tetapi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membuktikan bahawa amalan tender terbuka ini berjaya dibuat dengan baik sekali.

“Hari ini, sekali lagi kita buktikan bahawa Kerajaan Negeri tepati janji… tender dipanggil secara terbuka dan diberikan kepada (pamaju) Sifar Bina,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pembukaan Pasar Awam Perkambungan Juru di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan), Ong Chin Wen (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Bukit Tengah), Soon Lip Chee (ADUN Jawi) dan P. Kasturiraani (Ahli Parlimen Batu Kawan) turut hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Datuk Maimunah Mohd. Sharif dan Setiausahanya, Sr. Rozali Mohamud serta Shafiqah Shobha Abdullah (Ahli Majlis MPSP).

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, amalan tender terbuka yang diamalkan di negeri ini ternyata lebih memberi peluang kepada syarikat kontraktor berwibawa untuk memajukan projek-projek berkaitan Kerajaan Negeri.

“Sungguhpun nama syarikat ‘sifar’, tetapi, yang penting syarikat ini ada sifat kelemahan dan boleh siapkan projek ini seperti dijanjikan.

“Tender terbuka yang diamalkan menunjukkan kita berkebolehan dan mampu untuk melaksanakan projek-projek bagi bersama-sama anak-anak syarikat (daripada) anak-anak negeri tempatan,” kata Guan Eng yang juga ADUN Air Putih.

Difahamkan, Kerajaan Negeri mensasar siap projek baik semula 11 pasar awam di sekitar Pulau Pinang menjelang tahun 2014, selain, baik pulih kecil 23 pasar awam lain dengan peruntukan RM5 juta.

Dalam tempoh tahun 2014, tiga buah pasar awam dinaiktaraf menggunakan RM1.134 juta bajet Kerajaan Negeri.

Manakala, Pasar Awam Perkampungan Juru pula terdiri daripada 88 unit gerai jualan, iaitu 25 petak am, 26 petak makanan, petak runcit (7), gerai jualan sayur (9), gerai jualan ikan (9), gerai jualan ayam (2), gerai buahbuahan (4) dan gerai daging khinzir (6).

Dalam perkembangan lain, Guan Eng turut menjelaskan, kos kontrak pembersihan pasar serta kompleks makanan bagi tahun 2013 berjumlah RM1,800,336 dan MPSP mengambil alih semua kerja pembersihan tersebut September tahun ini.