Usul beku urusan tambah babit 1MDB diterima majoriti ADUN P. Pinang

GEORGE TOWN – Lintang-pukang semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno meninggalkan persidangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ketika Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengemukakan satu lagi usul berhubung kes tanah membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Di bawah Peraturan 34 (viii) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat, usul itu berbunyi,

“Skandal 1MDB sebanyak RM50 bilion yang mencipta sejarah buat kali pertama mengakibatkan sebuah syarikat milikan Kerajaan Persekutuan Malaysia dan juga dijamin oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia gagal (default), atau tidak dapat melangsaikan bayaran faedah yang diwajibkan dibayar sebanyak dua kali, setiap kali melibatkan jumlah faedah sekurang-kurangnya USD50 juta.

“Justeru itu, demi kepentingan awam adalah diputuskan bahawa semua urusan berkaitan dengan 1MDB di Pulau Pinang harus dibekukan sehingga satu penjelasan penuh diberikan olehnya tentang skandal ini dan impaknya kepada rakyat serta juga tentang urusan pembelian dan penjualan tanah, khususnya 234 ekar tanah di Air Itam yang dibeli dengan harga RM1.38 bilion sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 serta membabitkan hampir 3,000 keluarga dan pembangunan perumahan berskala besar.”

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer dan ADUN Air Itam, Wong Hon Wai bangun membahaskan usul itu.

Susulan itu, Yang di-Pertua DUN Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang menetapkan usul tersebut dipersetujui berdasarkan pungutan suara anggota mesyuarat di sini.