Usul baharu isu tambak laut diterima majoriti ADUN

GEORGE TOWN – Usul tergempar berhubung isu penambakan laut menjadi tiga pulau jadian di selatan bahagian pulau negeri ini diterima majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sini.

Usul itu berbunyi, “Kerajaan Negeri Pulau Pinang diwajibkan tidak memulakan projek penambakan laut sehingga mendapat kelulusan Laporan Penilaian Terperinci Terhadap Alam Sekitar (DEIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Persekutuan yang perlu dipantau dan diperiksa oleh Majlis Pengangkutan Negeri (PTC) dan termasuk mencari alternatif lain dari segi pembiayaan projek-projek PIP yang mempunyai model yang ‘feasible and sustainable’ termasuk pembiayaan oleh Kerajaan Persekutuan”.

Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang membuat ketetapan itu, susulan proses mendengar suara bersetuju di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 20 Mei lalu.

Usul tergempar baharu itu dibentangkan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berdasarkan Peraturan 34 Usul-Usul Tanpa Pemberitahu, selepas berunding dengan beberapa ADUN daripada blok Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Sebelum itu, ADUN Pulau Betong, Sr. Muhamad Farid Saad menarik semula usul asal yang menggesa Kerajaan Negeri membatalkan semua projek tambakan laut di negeri ini, demi membiayai kos pemajuan Pelan Induk Pengangkutan (PIP). Begitu juga Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota, menarik satu usul tergempar baharu yang lain, berkaitan isu PIP ini.

Sesi perbahasan usul tergempar baharu dibahaskan hampir satu jam.

Muhamad Farid semasa membahaskan usul itu berkata, ADUN Barisan Nasional serta wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk turut menganggotai PTC.

“Saya mahu PTC ini bersikap terbuka,” jelas Muhamad Farid. ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon pula berharap laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) serta model bisnes PIP ini turut perlu disiapkan secara teliti oleh PTC.

Tiga ADUN Pakatan Harapan lain, Dr. Norlela Ariffin (Penanti), Teh Yee Cheu (Tanjung Bunga), Shah Headan Ayoob Hussain Shah (Teluk Bahang) masing-masing turut mengambil bahagian pada sesi perbahasan.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PTC sekali lagi menyatakan bahawa Kerajaan Negeri dengan rasa rendah diri beberapa kali memohon kepada Kerajaan Persekutuan supaya membiayai PIP, tiada maklum balas baik.

Justeru, tambahnya, syor tambakan laut dipilih sebagai model bisnes Kerajaan Negeri untuk membiayai kos pembinaan dan pengurusan PIP.

} else {