Visi Penang2030, gembleng tenaga nikmati nilai serta kehidupan lebih baik

Admin

SERI DELIMA – Ketua Menteri, Y.A.B.  Tuan Chow Kon Yeow berharap Visi Penang2030 yang digagaskan oleh beliau dapat menggembleng tenaga semua rakyat negeri ini demi menikmati nilai dan tahap kehidupan yang lebih baik.

 

Menurut beliau, Visi Penang2030 adalah unik kerana Kerajaan Negeri tidak hanya bercakap tentang pembangunan fizikal semata-mata, malah turut membincangkan pembangunan melibatkan seni, budaya yang mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat secara menyeluruh.

 

“Oleh itu, aktiviti seperti Arts In The Park (AITP) yang dianjurkan buat kali kedua ini (2.0) menjadi satu lagi platform kepada komuniti untuk terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan.

 

“Yang mana, AITP 2.0 menyediakan satu atmosfera yang baik dari petang hingga ke malam dengan kepelbagaian cabang seni hasil anjuran khas oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid,” ujarnya ketika mengadakan lawatan khas ke AITP 2.0 di Taman Kejiranan Karpal Singh, Jalan Delima dekat sini hari ini.

 

Hadir sama, tuan rumah, Syerleena; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Pengarah Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Hasnul Jamal Saidon dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Island Glades, Teh Liang Teik.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow betharap penduduk kawasan berkaitan dapat bersama-sama menikmati serta mengambil bahagian dalam acara-acara yang diadakan khasnya peminat seni tanah air,” jelasnya yang juga Exco bagi Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Pada gimik perasmian Kon Yeow diberi kesempatan menyertai kugiran gendang tradisional bersama gabungan muzik gamelan dan rebana.

 

Malah, antara aktiviti menarik lain yang diadakan termasuk busking, jualan kraftangan dan mencanting batik.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT