Waktu bekerja fleksi, kenaikan COLA tambah baik perkhidmatan awam negeri – Abdul Razak

Admin

GEORGE TOWN – Dalam menambah baik penyampaian perkhidmatan awam di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telahpun meluluskan pemakaian pelaksanaan Waktu Bekerja Fleksi (WBF).

Menerusi pemakaian Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2019, WBF diperkenalkan bagi menggantikan Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) yang dilaksanakan seluruh negara sejak 1998.

ABDUL Razak Jaafar ketika menyampaikan ucapan alu-alu pada majlis berkaitan baru-baru ini.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar, pemakaian pekeliling berkaitan walau bagaimanapun telah diubah suai di peringkat pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Di peringkat Pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah ditetapkan WBF adalah 30 minit sahaja berbanding pekeliling asal, satu jam seperti yang diguna pakai secara rintis di beberapa kementerian dan jabatan persekutuan di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya), Perlis, Perak, Selangor, Johor, Terengganu, Sarawak dan Sabah.

“Tempoh 30 minit ini membolehkan pegawai menggunakan kemudahan WBF setiap hari bekerja selepas waktu kerja dengan waktu mula kerja sama ada 7:30 pagi, 8:00 pagi atau 8:30 pagi sahaja.

“(Dan) pemakaian kemudahan WBF ini juga tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan Negeri Bilangan 1 Tahun 2020 yang berkuat kuasa mulai 1 Februari 2020,” ujarnya pada Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam di sini pada 30 Januari lalu.

Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Yang diPertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; barisan Exco Kerajaan Negeri; barisan ex-officio; Datuk Bandar serta Ahli Majlis bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan; Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta Pegawai-pegawai Kanan.

SEBAHAGIAN peneraju jabatan kerajaan dan badan berkanun merakam kenangan bersama-sama Ketua Menteri pada majlis berkaitan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Abdul Razak memaklumkan bahawa kemudahan pengenalan WBF ini bukanlah suatu hak mutlak pegawai, sebaliknya pegawai boleh diarahkan oleh Ketua Jabatan dari semasa ke semasa untuk hadir ke pejabat mengikut WBB masing-masing.

 

Mengulas lanjut, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd. Ali Sebran memberitahu bahawa sebagai sebuah negeri yang sentiasa menjadi barisan hadapan dalam penyampaian perkhhidmatan kepada rakyat, adalah wajar bagi pihak pentadbiran mengurangkan tempoh WBF dari sejam kepada 30 minit.

 

 

Sekiranya seseorang pegawai itu masuk kerja 7:30 pagi tetapi lewat 10 minit maka pegawai tersebut hendaklah menambah masa waktu pulang lewat 10 minit bagi memastikan prinsip waktu bekerja sehari selama sembilan jam termasuk rehat dipenuhi.

“(Dan) sekiranya pegawai lewat melebihi 30 minit maka ia dikategorikan sebagai lewat dan tindakan tatatertib akan diambil mengikut arahan yang ditetapkan oleh pentadbiran,” ulasnya.

Dalam perkembangan sama, apabila ditanya mengenai kenaikan kadar Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA) seperti yang diumumkan melalui ucapan alu-aluan, Abdul Razak menyifatkan ia sebagai berita gembira kepada anggota perkhidmatan awam negeri.

Kerajaan Negeri telah bersetuju dengan kadar kenaikan COLA sebanyak RM50 sebulan kepada pegawai-pegawai Kumpulan Pelaksana yang layak yang mana dinaikkan kepada RM350 sebulan.

“Kenaikan ini dapat membantu meringankan sedikit kos sara hidup penjawat awam yang berpendapatan rendah terutama bagi negeri maju seperti Pulau Pinang,” maklumnya.

Difahamkan, pelaksanaan kadar baru ini adalah mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan Negeri Bilangan 2 Tahun 2020 yang telah berkuat kuasa pada 1 Januari 2020.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI