BAYAN LEPAS – Golongan wanita di Pulau Pinang memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekonomi umat Islam apabila merekodkan seramai 21,002 pembayar zakat pendapatan, bersamaan 51.86 peratus daripada keseluruhan pembayar bagi tahun 2025.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, jumlah bayaran zakat pendapatan oleh golongan wanita pada tahun tersebut mencecah RM39.25 juta.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Himpunan Wanita Profesional 2026 (HWPro) di Hotel Olive Tree dekat sini pada 13 Oktober 2026.
Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, penglibatan aktif wanita berkerjaya dalam menunaikan kewajipan berzakat mencerminkan kesedaran tinggi mereka, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negeri.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung memberitahu bahawa penglibatan wanita turut ketara dalam kategori zakat emas apabila mereka mewakili 71.95 peratus daripada keseluruhan pembayar, dengan nilai kutipan sebanyak RM1.51 juta.
Bagi zakat wang simpanan pula, seramai 2,721 pembayar wanita, bersamaan 54.93 peratus, menyumbang sebanyak RM6.86 juta. Sementara itu, kutipan zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada golongan wanita berjumlah RM1.05 juta, manakala zakat saham mencatatkan RM250,000.
“Secara keseluruhan, bayaran zakat daripada wanita bagi kelima-lima kategori tersebut mencapai RM48.92 juta bagi tahun 2025,” jelasnya.
Mengulas mengenai pengurusan dana zakat, Mohamad berkata Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) terus komited memastikan kutipan zakat diagihkan secara cekap dan telus kepada golongan yang layak.
“Bagi tahun 2025, sebanyak RM200.11 juta telah diagihkan kepada 45,831 penerima individu dan institusi, iaitu peningkatan kira-kira 23 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Bagi tahun 2026 pula, jumlah agihan terkumpul sehingga 30 September mencecah RM143.14 juta, dengan agihan tertinggi disalurkan kepada asnaf fisabilillah sebanyak RM80.63 juta, diikuti asnaf miskin (RM29.54 juta) dan asnaf fakir (RM17.45 juta),” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa zakat berfungsi sebagai pelaburan sosial yang penting dalam membantu golongan asnaf keluar daripada kitaran kemiskinan, khususnya melalui bidang pendidikan.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pembiayaan prasekolah Tadika Islam (TADIS), Bantuan Awal Persekolahan, penjenamaan Tuisyen MADANI bernilai RM2 juta, Program Iltizam Huffaz, Skim Permulaan IPT, Dermasiswa Pengajian Tinggi dengan peruntukan RM22.36 juta serta latihan teknikal Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Penang Skills Development Centre (PSDC),” katanya.
Mengakhiri ucapan, beliau berkata bahawa sumbangan zakat oleh wanita profesional merupakan pemangkin penting dalam membentuk generasi masa hadapan, selaras dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI2030) serta aspirasi Penang2030 untuk melahirkan masyarakat yang inklusif dan sejahtera.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN