PENGUMUMAN pembangunan Pusat Kepakaran Penjagaan Bersepadu (NICE) di Pulau Pinang menerusi Belanjawan 2027 merupakan satu perkembangan penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan negeri menghadapi peningkatan penduduk warga emas. Pemilihan Pulau Pinang sebagai salah satu daripada dua lokasi pembangunan pusat tersebut, selain Sarawak, membuka peluang untuk memperkukuh ekosistem penjagaan warga emas melalui latihan, penyelidikan dan perkhidmatan penjagaan yang lebih bersepadu. Menariknya, Pulau Pinang bukanlah bermula dari kosong dalam menghadapi perubahan demografi ini. Negeri ini telah menunjukkan komitmen melalui pelaksanaan inisiatif Bandar Mesra Usia (Age-Friendly City) yang melibatkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP). Dalam konteks ini, NICE berpotensi melengkapkan usaha sedia ada sekali gus memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai negeri yang memberikan perhatian terhadap kesejahteraan penduduk sepanjang perjalanan usia.
Pulau Pinang semakin menua, tetapi masih mempunyai ramai penduduk usia bekerja
Menurut Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2026 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah penduduk Pulau Pinang dianggarkan sekitar 1.81 juta orang. Daripada jumlah tersebut, 8.8 peratus merupakan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas, meningkat daripada 8.4 peratus pada 2025. Berdasarkan angka ini, Pulau Pinang dianggarkan mempunyai sekitar 159,000 penduduk berumur 65 tahun dan ke atas. Jumlah tersebut cukup signifikan untuk diberikan perhatian dalam perancangan perkhidmatan kesihatan, penjagaan jangka panjang, pengangkutan dan kemudahan awam. Dalam masa yang sama, sekitar 73.1 peratus penduduk Pulau Pinang masih berada dalam lingkungan usia bekerja, iaitu antara 15 hingga 64 tahun.
Keadaan ini memperlihatkan satu ciri demografi yang menarik. Pulau Pinang masih mempunyai komposisi penduduk usia produktif yang besar, tetapi bahagian penduduk warga emas turut menunjukkan peningkatan. Walau bagaimanapun, perlu difahami bahawa peratusan penduduk warga emas Pulau Pinang sebenarnya telah melebihi purata nasional. Oleh itu, negeri ini tidak boleh dianggap mempunyai kadar penuaan yang rendah semata-mata kerana majoriti penduduknya masih berada dalam lingkungan usia bekerja. Dari sudut demografi, peratusan dan bilangan sebenar warga emas perlu dinilai secara bersama. Peratusan menggambarkan tahap penuaan sesebuah penduduk, manakala bilangan mutlak penting dalam menentukan skala kemudahan dan perkhidmatan yang perlu disediakan. Malah, keperluan warga emas tidak ditentukan oleh umur semata-mata. Faktor seperti tahap kesihatan, kemampuan kewangan, keadaan tempat tinggal dan sokongan keluarga turut mempengaruhi jenis penjagaan yang diperlukan. Oleh itu, pembangunan NICE di Pulau Pinang wajar dilihat sebagai satu bentuk persediaan jangka panjang untuk memenuhi keperluan penduduk yang semakin berubah.
Komitmen Kerajaan Negeri memperkukuh ekosistem penjagaan
Dalam laporan Buletin Mutiara bertarikh 10 Oktober 2026, Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, menyambut baik pengumuman pembangunan NICE dan menegaskan kesediaan Kerajaan Negeri untuk memberikan kerjasama bagi merealisasikan inisiatif tersebut. Beliau turut mengakui bahawa isu masyarakat menua semakin menjadi kenyataan di Malaysia dan Pulau Pinang. Sehubungan itu, persediaan menghadapi perubahan demografi perlu melibatkan pelbagai pihak, termasuk kerajaan, sektor swasta dan komuniti. Pandangan tersebut amat bertepatan dengan keperluan pengurusan penuaan penduduk yang tidak boleh dilaksanakan oleh satu agensi secara bersendirian.
Pada masa yang sama, Ketua Menteri turut menekankan kepentingan dasar yang bersesuaian, penyediaan infrastruktur dan kemudahan penjagaan, program kesedaran serta pengukuhan kebajikan warga emas. Daripada perspektif kependudukan, komitmen ini merupakan satu asas penting kerana penuaan penduduk bukan sekadar melibatkan pertambahan bilangan warga emas. Sebaliknya, perubahan tersebut turut mempengaruhi struktur keluarga, keperluan perumahan, sistem kesihatan dan penyediaan perkhidmatan sosial.
Bagaimanapun, laporan berkenaan turut menjelaskan bahawa lokasi khusus pembangunan NICE di Pulau Pinang masih belum dimuktamadkan dalam maklumat yang diterima Kerajaan Negeri. Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (PBEN) akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada agensi Persekutuan berkaitan. Pada pandangan saya, proses penyelarasan awal ini amat penting supaya pemilihan lokasi dan pembangunan NICE dapat mengambil kira keperluan sebenar penduduk serta hubungannya dengan kemudahan sedia ada.
Bandar Mesra Usia menjadi asas penting
Salah satu kelebihan Pulau Pinang ialah usaha yang telah dimulakan melalui pembangunan Bandar Mesra Usia berdasarkan kerangka Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). MBPP menyertai WHO Global Network for Age-Friendly Cities and Communities pada 28 Julai 2023, manakala MBSP menyertainya pada 1 Disember 2025. Penyertaan kedua-dua pihak berkuasa tempatan ini mencerminkan komitmen untuk membangunkan persekitaran bandar yang lebih selamat, mudah diakses dan inklusif kepada penduduk pelbagai peringkat umur. Konsep Bandar Mesra Usia tidak hanya tertumpu kepada pembinaan kemudahan khusus untuk warga emas. Ia merangkumi aspek lebih luas seperti ruang awam, pengangkutan, perumahan, penyertaan sosial, komunikasi, akses maklumat dan perkhidmatan komuniti. Sebagai contoh, laluan pejalan kaki yang selamat, bangku rehat, pengangkutan awam yang mudah diakses dan kawasan rekreasi yang sesuai boleh membantu warga emas meneruskan kehidupan secara aktif dan berdikari.
Dalam konteks Pulau Pinang, kerjasama dengan agensi seperti Penang Women’s Development Corporation (PWDC), organisasi masyarakat dan komuniti tempatan memperlihatkan pendekatan yang melibatkan pelbagai pihak. Namun, penyertaan dalam rangkaian Bandar Mesra Usia tidak bermakna semua keperluan warga emas telah dipenuhi sepenuhnya. Sebaliknya, ia merupakan satu komitmen untuk melaksanakan penambahbaikan secara berterusan berdasarkan keperluan masyarakat. Justeru, Pulau Pinang boleh dianggap telah mempunyai asas kesiapsiagaan yang baik, tetapi usaha tersebut masih perlu diperluas dan dinilai dari semasa ke semasa.
NICE sebagai pelengkap kepada Bandar Mesra Usia
Pengumuman NICE menerusi Belanjawan 2027 memberikan peluang untuk menghubungkan pembangunan persekitaran mesra warga emas dengan sistem penjagaan yang lebih khusus. Sekiranya inisiatif Bandar Mesra Usia memberikan penekanan terhadap persekitaran fizikal dan sosial, NICE pula berpotensi memperkukuh aspek latihan, penyelidikan dan penjagaan warga emas. Kedua-dua pendekatan ini sebenarnya saling melengkapi. Sebagai contoh, warga emas yang masih aktif memerlukan kemudahan awam yang selamat untuk bergerak, bersosial dan menjalani kehidupan harian. Namun, apabila tahap kesihatan merosot atau mereka menghadapi kesukaran menguruskan diri, sistem penjagaan yang lebih khusus diperlukan. Dalam keadaan sedemikian, pendekatan penjagaan bersepadu amat penting supaya keperluan kesihatan, pemulihan, emosi dan sosial dapat ditangani secara lebih tersusun.
NICE berpotensi menjadi pusat yang menghubungkan kepakaran daripada pelbagai bidang termasuk gerontologi, kesihatan awam, kejururawatan, rehabilitasi, psikologi dan kerja sosial. Pada masa yang sama, kerjasama antara NICE dengan MBPP, MBSP, institusi kesihatan dan organisasi komuniti boleh diteroka bagi memastikan hasil penyelidikan dan latihan dapat diterjemahkan kepada program yang memberikan manfaat langsung kepada masyarakat. Walau bagaimanapun, model operasi NICE masih perlu diperincikan. Justeru, cadangan ini merupakan antara potensi yang boleh dipertimbangkan oleh pihak pelaksana, bukannya gambaran perkhidmatan yang telah ditetapkan.
Persediaan menghadapi penuaan perlu bermula dalam komuniti
Dalam membincangkan pembangunan pusat penjagaan warga emas, masyarakat sering membayangkan kemudahan yang menempatkan individu uzur atau memerlukan bantuan sepenuh masa. Namun, hakikatnya tidak semua warga emas memerlukan penjagaan institusi. Ramai dalam kalangan mereka masih mampu menjalani kehidupan secara berdikari, bekerja, menguruskan perniagaan, melakukan aktiviti sukarela dan menyumbang kepada masyarakat. Oleh itu, ekosistem penuaan yang baik perlu memberikan perhatian kepada usaha mengekalkan tahap kesihatan dan kemampuan berdikari selama mungkin. Pendekatan ini berkait rapat dengan konsep ageing in place, iaitu membolehkan warga emas terus tinggal di rumah dan komuniti pilihan mereka secara selamat, selagi sesuai dengan keadaan kesihatan dan keperluan penjagaan.
Bagi Pulau Pinang, pembangunan Bandar Mesra Usia memberikan asas untuk menyokong pendekatan tersebut. Namun, keperluan warga emas di George Town, kawasan perumahan bertingkat, kawasan pinggir bandar dan kampung di Seberang Perai mungkin berbeza. Ada yang menghadapi kesukaran mendapatkan pengangkutan, ada yang tinggal bersendirian, manakala sebahagian lagi memerlukan bantuan ahli keluarga untuk mendapatkan rawatan kesihatan.
Oleh itu, pembangunan NICE perlu mengambil kira kepelbagaian geografi dan latar belakang sosioekonomi warga emas. Salah satu pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah menjadikan NICE sebagai pusat rujukan kepakaran yang menyokong jaringan penjagaan komuniti, supaya manfaatnya tidak hanya tertumpu kepada penduduk yang tinggal berhampiran lokasi pusat tersebut.
Memperkasa penjaga keluarga dan tenaga profesional
Belanjawan 2027 turut mengumumkan peruntukan melebihi RM40 juta melalui HRD Corp bagi melatih 8,000 individu dalam sektor penjagaan warga emas. Langkah ini amat penting kerana peningkatan bilangan warga emas akan turut meningkatkan permintaan terhadap tenaga penjagaan yang mempunyai kemahiran khusus. Namun, dalam konteks masyarakat Malaysia, kita juga perlu memberikan perhatian kepada penjaga tidak formal, khususnya anak-anak dan pasangan yang menjaga ahli keluarga berusia. Tanggungjawab tersebut sering dilaksanakan tanpa latihan formal, walaupun penjagaan warga emas yang mengalami penyakit kronik, demensia atau masalah pergerakan memerlukan pengetahuan tertentu. Dalam keadaan ahli keluarga turut bekerja dan mempunyai tanggungjawab menjaga anak, beban penjagaan boleh memberikan kesan terhadap kesejahteraan fizikal, emosi dan kewangan.
Oleh itu, pembangunan NICE sewajarnya turut membuka ruang kepada latihan dan sokongan bagi penjaga keluarga. Antara keperluan yang boleh dipertimbangkan termasuk latihan penjagaan asas, pengurusan ubat-ubatan, pencegahan risiko jatuh, pengendalian warga emas dengan demensia serta pendidikan mengenai kesejahteraan penjaga. Pulau Pinang juga mempunyai kelebihan dari segi kewujudan institusi pendidikan tinggi dan kepakaran kesihatan yang boleh dimanfaatkan. Kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia dan institusi pendidikan lain boleh diteroka melalui penyelidikan multidisiplin, pembangunan latihan profesional serta program pembelajaran sepanjang hayat. Malah, pembangunan microcredential berkaitan penjagaan warga emas berpotensi menjadi salah satu pendekatan untuk meningkatkan kemahiran tenaga penjagaan secara lebih fleksibel. Dengan cara ini, NICE bukan sekadar menyokong perkhidmatan penjagaan, tetapi juga dapat menyumbang kepada pembangunan ilmu dan kemahiran dalam bidang penuaan penduduk.
Mengukur kesiapsiagaan melalui hasil, bukan pengumuman
Walaupun Pulau Pinang telah mempunyai pelbagai inisiatif berkaitan masyarakat mesra usia, tahap kesiapsiagaan sebenar perlu dinilai berdasarkan keberkesanan pelaksanaan. Persoalan yang perlu diberikan perhatian bukan hanya sama ada sesuatu pusat atau program telah diwujudkan, tetapi sejauh mana kemudahan tersebut benar-benar membantu warga emas menjalani kehidupan yang lebih baik.
Sebagai contoh, adakah warga emas mudah mendapatkan pengangkutan ke pusat kesihatan? Adakah penjaga keluarga mempunyai akses kepada latihan dan sokongan? Adakah kawasan perumahan menyediakan kemudahan yang sesuai untuk penduduk berusia?
Selain itu, adakah perkhidmatan penjagaan mampu diakses oleh golongan berpendapatan rendah, warga emas yang tinggal bersendirian dan mereka yang berada di kawasan kurang mendapat kemudahan? Persoalan sedemikian penting supaya pembangunan ekosistem penuaan tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal atau jumlah program yang dilaksanakan. Dalam konteks NICE, antara perkara yang wajar diberikan perhatian ialah kejelasan fungsi pusat, penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, mekanisme pembiayaan serta petunjuk keberhasilan yang boleh dinilai secara berkala. Pada masa yang sama, pandangan warga emas dan penjaga keluarga perlu diambil kira dalam proses perancangan. Penglibatan kumpulan sasaran ini akan membantu memastikan perkhidmatan yang dibangunkan benar-benar memenuhi keperluan masyarakat, bukannya hanya berdasarkan andaian pihak pelaksana.
Pulau Pinang berpotensi menjadi model negeri mesra warga emas
Secara keseluruhannya, pembangunan NICE di Pulau Pinang menerusi Belanjawan 2027 merupakan satu peluang penting untuk memperkukuh usaha negeri menghadapi penuaan penduduk. Kesediaan Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, ditambah dengan pelaksanaan inisiatif Bandar Mesra Usia oleh MBPP dan MBSP, memberikan asas yang baik untuk membangunkan ekosistem penjagaan yang lebih menyeluruh. Namun, kejayaan NICE tidak seharusnya diukur melalui kewujudan sebuah pusat kepakaran semata-mata. Sebaliknya, manfaat sebenar perlu diterjemahkan melalui peningkatan kualiti penjagaan, sokongan kepada keluarga, pembangunan tenaga kerja dan kemudahan komuniti yang lebih mesra warga emas.
Dalam masa yang sama, penuaan penduduk tidak seharusnya dilihat sebagai beban pembangunan. Ia juga mencerminkan pencapaian masyarakat apabila semakin ramai penduduk berpeluang menikmati kehidupan yang lebih panjang.
Apa yang lebih penting ialah memastikan pertambahan usia disertai dengan kehidupan yang sihat, aktif, selamat dan bermaruah. Pulau Pinang telah mengorak langkah penting melalui agenda Bandar Mesra Usia. Pembangunan NICE berpotensi menjadi pemangkin untuk memperkukuh langkah tersebut melalui gabungan kepakaran, penyelidikan, latihan dan sokongan penjagaan.
Akhirnya, usaha membina negeri mesra warga emas bukan hanya untuk golongan yang telah berusia, tetapi merupakan persediaan untuk seluruh masyarakat yang suatu hari nanti akan melalui proses penuaan yang sama. Pulau Pinang bukan sekadar perlu bersedia menerima pertambahan warga emas, tetapi perlu memastikan setiap penduduk mempunyai peluang untuk menua dengan sihat, berdikari dan bermaruah. Itulah ukuran sebenar sebuah negeri yang bersedia menghadapi masa depan demografinya.
Dr. Nik Norliati Fitri Md Nor Pensyarah Kanan Pakar Demografi dan Penuaan Penduduk Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia