BUKIT TENGAH – Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh usaha memperkasa golongan ibu tunggal menerusi pelbagai inisiatif keusahawanan, pembangunan kapasiti serta penggunaan teknologi digital agar golongan berkaitan lebih berdaya saing dan mampu menjana pendapatan secara mampan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, masih ramai ibu tunggal yang memerlukan dorongan untuk mengatasi kekangan sebelum berani melangkah ke hadapan sebagai usahawan.
“Walaupun memikul tanggungjawab besar sebagai ibu, anak dan anggota masyarakat, golongan ibu tunggal tetap memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
“Kita memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan ibu tunggal, sebab itu Kerajaan Negeri sejak lebih sedekad lalu menubuhkan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) sebagai agensi khusus untuk memperjuangkan agenda pemerkasaan wanita daripada pelbagai aspek.
“Matlamat kita jelas iaitu memastikan wanita menjadi rakan setanding lelaki dalam arus pembangunan sosioekonomi negeri serta diberikan peluang untuk meningkatkan potensi diri dalam mengatasi kekangan dan melangkah dalam bidang keusahawanan ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya ketika berucap pada Program Jelajah CM Chow Bersama-sama Komuniti Ibu Tunggal di perkarangan Masjid Permatang Kebun Sireh dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Dato’ Ong Bee Leng.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow menyatakan bahawa pelaksanaan strategi di bawah Visi Penang2030 bagi memperkasakan penyertaan wanita dan warga emas dalam masyarakat kini telah mencapai kira-kira 75 peratus, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri terhadap agenda tersebut.
“Dalam aspek kesukarelawanan pula, seramai 17,241 sukarelawan wanita dan warga emas telah direkodkan, iaitu 86 peratus daripada sasaran 20,000 sukarelawan menjelang tahun 2030.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa pembangunan negeri turut dipacu oleh kekuatan komuniti,” jelasnya merangkap Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Mengulas mengenai Program Jelajah CM Chow, beliau memberitahu bahawa ia akan terus dilaksanakan sebagai platform mendekatkan kepimpinan Kerajaan Negeri dengan rakyat di setiap komuniti.
“Apabila kita turun padang dan bertemu masyarakat secara langsung, kita dapat memahami dengan lebih dekat keperluan serta cabaran yang mereka hadapi.
“Pendekatan ini membolehkan Kerajaan Negeri merangka dasar dan program yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” ulasnya lanjut.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN
Video: SITI NURATIKAH RAHMAT