Waspada ‘polis palsu’ – PDRM

BAYAN BARU – Orang ramai diminta berwaspada dengan kegiatan penyamaran ‘polis palsu’ yang dikesan berlaku di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid dalam laporan akhbar baru-baru ini berkata, walaupun indeks jenayah di kawasan warisan George Town menurun, namun orang ramai perlu berhati-hati dengan kegiatan ‘polis palsu’.

“Ini kerana, pada 6 Julai lalu, pasangan pelancong dari Hong Kong kerugian RM6,000 setelah disamun dua suspek yang memperkenalkan diri sebagai ‘polis’ di persimpangan Lebuh Pantai dan Jalan Penang di sini.

“Malah, dua kejadian ragut turut berlaku pada awal Julai lalu di kawasan warisan George Town yang turut membabitkan pelancong asing,’’ jelasnya dalam laporan berkenaan.

Kenyataan Mior Faridalathrash tersebut diedarkan pada majlis sidang media Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng supaya umum mengambil langkah berwaspada berhubung kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, Guan Eng turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ekoran penurunan kadar jenayah sebanyak lapan peratus di negeri ini sebagaimana diumumkan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Abd. Rahim Hanafi di dalam laporan akhbar baru-baru ini.

“Kadar penurunan tersebut adalah berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia dan mereka (PDRM) juga berjanji akan melipatgandakan lagi usaha dalam memerangi jenayah seperti ragut, rompak dan sebagainya.

“Bagi saya, penurunan indeks (jenayah) sahaja tidak cukup, yang penting, rakyat berasa diri mereka lebih selamat apabila berada di luar rumah dan persepsi mengenai keselamatan di negeri ini adalah lebih positif,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu turut menyeru semua pihak untuk terus membantu PDRM melawan jenayah bagi melahirkan masyarakat yang lebih harmoni di negeri ini.

“Apa yang lebih merisaukan, saya turut menerima laporan bahawa ada yang sanggup datang dari luar Pulau Pinang semata-mata untuk melakukan jenayah rompak kemudian balik semula ke negeri asal,’’ tambah beliau.