Kerajaan Negeri amat hargai P. Ramlee – Zairil

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BAYAN BARU – Pengarah Eksekutif Penang Institute (PI), Zairil Khir Johari membidas laporan artikel sebuah akhbar tempatan baru-baru ini yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah melakukan apa-apa bagi mengenang jasa Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai lagenda anak seni yang berasal dari Pulau Mutiara.

Menurut Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera, beliau mampu mengemukakan banyak bukti yang sememangnya P. Ramlee merupakan seorang seniman agung yang dikenang sepanjang zaman dan Kerajaan Negeri amatlah menghargai beliau.

“Pada penghujung tahun 2012 dan awal 2013, PI ada menganjurkan Festival P. Ramlee bertempat di Dewan Tunku (Dome), Komtar bagi memperingati lagenda tersebut dan serentak itu, turut diadakan beberapa acara lain seperti pertandingan nyanyian, tiru gaya P. Ramlee termasuk menjemput rakan karib beliau, Allahyarham Datuk Abdul Aziz Satar untuk menceritakan pengalamannya selama bersama P. Ramlee.

“Tahun 2014, kita (PI) sekali lagi menganjurkan festival sama pada 28 hingga 30 Mac, cuma venue berubah ke Kampung Melayu, Air Itam dan tentatif program masih sama dari segi pertandingan nyanyian, forum ‘bedah filem’ dan aktiviti mesra penduduk.

“Yang berbeza cuma, kita sedih pada kali ini Aziz Satar tidak dapat bersama kerana ketika itu beliau sakit tenat dan menghembuskan nafas terakhir pada Mei lalu,” jelasnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

PI merupakan sebuah badan pemikir dan penyelidik dasar kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Turut serta, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Mengulas mengenai siaran artikel kritikan tersebut, Guan Eng melahirkan keraguan ekoran isi kandungannya adalah serupa, namun apabila ianya disiarkan, nama penulis adalah berlainan.

“Artikel ini keluar pada dua surat khabar berbeza, penulisan agak sama, tetapi yang meragukan adalah penulis dari
nama yang berlainan.

“Namun, saya enggan menyentuh perkara itu terlalu mendalam kerana saya dapat rasakan ini agenda pihak tertentu,” tegasnya.

Mengulas lanjut, sebagai penghargaan kepada lagenda sepanjang zaman tersebut, Guan Eng pernah mengemukakan cadangan agar menamakan
Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sempena nama P. Ramlee, namun ia ditolak Kerajaan Pusat.

“Kerajaan Negeri juga turut mengalu-alukan dana dari Kerajaan Pusat jika berminat menaiktaraf muzium dan rumah P. Ramlee yang sedia ada di Jalan P. Ramlee (berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan Abdullah Munshi),’’ jelasnya.

Sementara itu, pada sidang media sama, Guan Eng turut mengumumkan pelantikan Ooi Chok Yan sebagai Pengurus Besar Penang Global Tourism (PGT).

“Pelantikan ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam memperkasakan sektor pelancongan yang merupakan salah satu penyumbang perkembangan sektor ekonomi Pulau Pinang.

“Berdasarkan pengalaman Chok Yan, beliau dilihat banyak menghabiskan masa iaitu selama 12 tahun dalam bidang pengiklanan di peringkat tempatan dan antarabangsa bersama agensi-agensi terkemuka.

“Antara agensi-agensi pengiklanan yang pernah beliau sertai termasuklah BBDO Malaysian Sdn. Bhd., OgilvyAction, M&C Saatchi-i, McCann Erickson Malaysia Sdn. Bhd. dan banyak lagi,’’ jelas Guan Eng.