GEORGE TOWN – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying menyeru badan-badan korporat supaya membantu Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dalam menambah bilangan rumah penginapan Anjung Kasih berhampiran hospital di seluruh negara.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata Anjung Kasih sebenarnya penting dalam menyediakan kemudahan penginapan percuma kepada waris pesakit di hospital.
“(Dan) kini di Malaysia kita mempunyai 19 buah Anjung Kasih di seluruh negara.
“Matlamat utama kita adalah untuk memberi peluang kepada waris pesakit mempunyai tempat tinggal yang selamat dan selesa kerana kos penginapan yang amat tinggi.
“Saya difahamkan di Hospital Pulau Pinang (HPP) sendiri ada pesakit yang datang daripada Sabah untuk mendapatkan rawatan jantung di sini.

“Jadi di sini, saya memang menyeru kepada pihak korporat supaya tampil ke depan, menghubungi YKN, untuk mendirikan lebih banyak lagi Anjung Kasih di seluruh negara,” ujarnya ketika melawat Anjung Kasih HPP di sini pada pagi tadi.
Hadir sama, Pengarah HPP, Dr. Goh Hin Kwang; Ketua Seksyen Khidmat Pengurusan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron.
Selain di HPP, setakat ini di Pulau Pinang mempunyai sebuah lagi Anjung Kasih di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Ditanya lanjut, Nordina memberitahu bahawa penglibatan sektor korporat sangat diperlukan memandangkan kos untuk menyiapkan satu Anjung Kasih memakan belanja antara RM1 juta hingga RM1.5 juta.
“Namun setelah satu-satu Anjung Kasih siap didirikan, kos pengurusan akan ditanggung oleh hospital terlibat,” jelasnya kepada Buletin Mutiara.
Tambah beliau, seseorang boleh menjimatkan perbelanjaan RM100 hingga RM150 sehari bagi kos penginapan jika menginap di Anjung Kasih.

Dalam perkembangan berasingan, Hui Ying pada sebelah petang menyambung lawatannya ke Anjung Singgah dekat Lebuh Chulia.
Buletin Mutiara diberitahu, Anjung Singgah merupakan pusat transit bagi golongan yang memerlukan perlindungan sementara juga terletak bawah seliaan YKN.
“Dalam konteks ini, Anjung Singgah bukan sahaja menyediakan perlindungan sementara, tetapi turut berperanan sebagai pusat saringan awal, rujukan, serta intervensi sosial bagi memastikan setiap individu dirujuk kepada saluran bantuan yang bersesuaian.
“Pendekatan ini memperkukuh sistem sokongan sosial yang lebih menyeluruh dan berfokus kepada pemulihan jangka panjang.
“Ini menjadikannya bukan sekadar pusat perlindungan, tetapi sebuah platform transisi kehidupan,” maklum beliau lagi.
Beliau berharap lawatan tersebut akan memperkukuh iltizam dalam membina masyarakat yang lebih prihatin, lebih inklusif, dan lebih sejajar.
Oleh : WATAWA NATA ZULKIFLI
Gambar : SIEW CHIA EN